fbpx

Tiada layanan ‘double standard’ terhadap tertuduh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazri (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Foto IHSAN BERNAMA

IPOH – Layanan diberikan terhadap pegawai polis yang merupakan tertuduh kes langgar lari remaja sehingga mati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, di sini minggu lalu sama seperti kes-kes lain dan tidak wujud elemen ‘double standard’.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan ketat yang diberikan terhadap tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, adalah disebabkan kes berkenaan mendapat perhatian umum.

“Jadi seperti mana yang kita tahu, layanan diberi sama seperti pesalah-pesalah yang lain. Kawalan keselamatan bermaksud escort (mengiringi) dari balai bawa ke mahkamah dan seterusnya dihadapkan kepada hakim. Jadi prosedur biasa.

“Kita tak anggap pun (kes) berprofil tinggi, cuma ia menarik perhatian jadi apabila menarik perhatian, kita perlu ada kawalan yang ketat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kawalan ketat yang diberikan terhadap tertuduh sehingga menimbulkan pandangan awam bahawa polis memberikan layanan ‘double standard’ terhadap pegawai polis berkenaan.

Pada masa sama, beliau memberitahu, mangsa telah pun dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini dan pegawai polis berkenaan telah ditahan di Penjara Taiping sehinggalah perbicaraan akan datang.

Tambah beliau, kawalan keselamatan di mahkamah yang dilaksanakan pihak polis pagi tadi adalah bagi menjaga keamanan serta ketenteraman di kawasan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri, Johari Kassim yang mengadakan kunjungan di kediaman keluarga mangsa memberi jaminan bahawa proses keadilan akan ditegakkan mengikut undang-undang.

“Insya-Allah, saya yakin dan menteri turut memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan dari segala sudut serta mengikut proses undang-undang,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI