KETIKA artikel ini ditulis, Aina Abdul dan Ernie Zakri masing-masing menerusi Jangan Mati Rasa Itu dan Astana belum lagi diumumkan finalis Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang akan berlangsung 3 Mac depan.
Keputusan siapa calon yang mara ke anugerah tahunan mencari lagu terbaik sepanjang tahun menerusi program Muzik-Muzik itu hanya akan diketahui lewat petang ini, sebaik tiga hari pertandingan melibatkan persaingan sengit 30 buah lagu Semi Final Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).
Biarpun keputusan penuh belum dikeluarkan, Jangan Mati Rasa Itu ciptaaan sepenuhnya
Aina Abdul rasanya sudah awal-awal menempah tiket ke final apabila muncul Lagu Terbaik dan Lagu Pilihan Alha Alfa pada hari pertama SFMM38, Jumaat lalu.
Kedudukan Aina sudah selesa. Ratu ’busana ektravaganza’ itu boleh fikirkan tema baju pelik apa lagi yang akan mengiringi persembahannya kelak.
Calon SFMM38 paling sensasi, Astana juga dilihat sebagai karya panas AJL38. Biarpun tidak menang Lagu Terbaik yang memihak kepada Sutera (Aisha Retno), karya ciptaan Ernie bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman itu seperti ada tempat khas di final.
Melihat rekod Ernie dengan Gundah (AJL35), Boneka (AJL36), Korban (AJL37), nama anak saudara Anuar dan Ziana Zain itu sudah seperti senarai wajib AJL setiap tahun dan AJL38 seperti tidak terkecuali.
Cuma berbanding Gundah dan Boneka, secara peribadinya halwa telinga penulis tidak begitu mesra telinga dengan Astana, sama juga dengan Korban pada tahun lalu. Jika mara ke final tahun ini, nasib Astana dan Ernie memang bertuah.
Itu hadiah berbaloi untuk perjuangan Ernie dan pasukan yang berjuang hampir mengugut mahu tarik pencalonan daripada SFMM38 apabila nama penyanyi Nadeera awalnya disebut sebagai penyanyi gantian impak sedikit masalah terma dan konflik syarikat rakaman lama.
Khalayak juga mahu melihat hasil perdebatan demi perdebatan antara peminat Ernie dan Aina. Untuk era TikTok ketika ini, dua penyanyi sememang produk vokal wanita paling berharga, jadi usah bergaduh siapa paling hebat.
Masih ada sekitar dua bulan sebelum berlangsungnya acara besar itu. Untuk bukan pengikut ‘hardcore’ arus muzik tempatan, yang barangkali ada tidak ‘kenal’ judul lagu, tetapi boleh ikut menyanyi apabila korus mula berdendang, kalian tidak keseorangan kerana penulis juga begitu.
Bukan ‘ada lagu,ada lagi’ seperti ungkapan popular Gegar Vaganza (GV), cuma dengan adanya lagu nyanyian orang nama seperti Liza Hanim dan Siti Nordiana yang turut bertanding tahun ini, ada kualiti atau aura berlainan dapat dilihat pada AJL38 nanti.
Maklumlah, kepanasan GV8 pun belum bersisa, naik pula nama dengan SFMM38, momentum sebegitulah yang peminat mahu tengok.
Kalau berjaya dengan Menyantun Kasih, penulis nak ucapkan terima kasih juga buat Siti Nordiana kerana membawa semula nama Datuk M. Nasir ke pentas AJL38 selepas Awan Nano (AJL26) sebagai komposer yang ikut bertanding. Selebihnya, tunggu sahaja!














