fbpx

Terima panggilan rakan guru maut selepas 15 minit pulang rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nazrul menunjukkan gambar kenangan yang sempat dirakam semasa menikmati makan malam bersama dua rakannya yang maut di Kepala Batas, awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Pertemuan enam sekawan bagi meraikan salah seorang rakan yang akan bertukar ke sekolah baharu berakhir tragedi apabila dua daripada mereka disahkan maut semasa perjalanan pulang dari Kepala Batas di sini setelah bertembung dengan pemandu mabuk, awal pagi tadi.

Muhammad Nazrul Firdaus Jelani, 32, berkata, dia tidak menyangka pertemuan mereka bersama dua rakan yang maut iaitu Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, dan Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, malam tadi merupakan yang terakhir.

“Tidak sampai 15 minit kami pulang ke rumah masing-masing, saya dikejutkan dengan panggilan yang dua rakan kami maut kemalangan. Kami sebelum itu makan malam bersama-sama di salah sebuah restoran di Kepala Batas bagi meraikan salah seorang daripada rakan yang akan bertukar sekolah.

“Mereka berdua (mangsa maut) datang bersama dari pulau ke sini dan kami semua berbual seperti biasa mengenai perihal sekolah dan hal-hal lain.

“Saya memang terkejut kerana tidak menyangka itu adalah kali terakhir kami bertemu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Nazrul berkata, peribadi Allahyarham Muhammad Fakhrul yang dikenalinya lebih 10 tahun lalu amat menyenangkan.

“Beliau memperoleh banyak pencapaian dan pelbagai pengiktirafan sepanjang pembabitannya dalam aktiviti di sekolah.

“Budi pekertinya baik dan tidak menyakitkan hati orang lain, malah warga pendidik serta rakan-rakan amat jarang melontarkan komen negatif terhadapnya.

“Selepas dimaklumkan mengenai tragedi yang berlaku, ramai rakan-rakan kami hadir hari ini untuk menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Muhammed Ahsan yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bunga manakala Muhammad Fakhrul pula ialah guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Shin, di Jelutong disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat tersepit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI