fbpx

Liga Super: KL City, Sri Pahang sama kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KL City, T. Saravanan (tengah), mengasak pemain Sri Pahang, Azrif Nasrulhaq pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

 

KUALA LUMPUR – Hasrat Kuala Lumpur City untuk cuba menamatkan kempen Liga Super musim ini di tangga keenam seakan makin sukar apabila diikat tanpa jaringan oleh Sri Pahang di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ia menjadi penutup yang adil buat Tok Gajah yang kini sudah pun sah berada di tempat keempat manakala KL City kini berharap Terengganu tewas kepada Perak pada aksi yang akan berlangsung malam esok.

Terdahulu, permulaan negatif menghimpit KL City yang terpaksa melakukan pertukaran awal ketika usia permainan kurang 10 minit dengan mengeluarkan Declan Lambert dan digantikan oleh Akram Mahinan.

Dalam tempoh itu juga Sri Pahang sudah pun memiliki dua percubaan menarik menerusi Syazwan Andik Ishak namun kesempatan itu gagal disudahkan dengan jaringan.

Walaupun pelawat dilihat lebih selesa mengawal permainan, KL City tetap melawan sebaliknya kedua-dua pasukan terpaksa akur untuk memasuki bilik persalinan tanpa sebarang jaringan terhasil.

Tempo di babak kedua seakan lebih perlahan dengan menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati malah tolakan ke dalam kotak penalti terlalu mudah dibaca oleh barisan pertahanan.

Peluang terbaik KL City hadir pada minit ke-68 namun tolakan Patrick Reichelt yang berjaya menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin sekadar melintasi gawang lawan.

Selang empat minit selepas itu, tuan rumah sekali lagi dipalit kecewa selepas rembatan jarak jauh ketua pasukan, Paulo Josue sekadar menggegar palang gol.

Walaupun aksi makin rancak, KL City dan Sri Pahang terus buntu mencari gol pemisah untuk berpuas hati berkongsi satu mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI