SELAMA tiga tahun, dalamannya jiwa penyanyi bernama Bunga Citra Lestari berselubung kelam selepas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair dijemput Ilahi pada tanggal 18 Februari 2020.
Pemergian lelaki yang menjadi teman hidupnya selama 12 tahun itu menutup pintu hati wanita yang mesra disapa BCL itu untuk mencari pengganti.
Namun, siapa manusia untuk menolak kuasa jodoh. Kehadiran seorang lelaki bernama Tiko Aryawardhana berjaya menyembuhkan luka di hatinya, sekali gus menerbitkan kembali rasa ingin dimiliki sepenuhnya sekali lagi.

Tanggal 2 Disember lalu, resort mewah, Amankila Resort, Bali menjadi saksi dua jiwa disatukan dalam ikatan yang sah.
Anggun mengenakan persalinan adat Jawa, kedua-dua mempelai dirai keluarga dan kenalan terdekat dalam majlis penuh kemewahan dan istiadat tradisional.
Bagaimanapun, belum sehari bergelar suami isteri, majlis pernikahan yang pada awalnya menuai pujian ramai itu bertukar menjadi kritikan apabila majlis resepsi diadakan pada sebelah malamnya.

Resepsi ‘liar’
Hilang segala adat tradisi ketimuran yang dijunjung apabila si pengantin diraikan dengan majlis ala Barat, sekali gus melahirkan rasa kesal peminat terhadap BCL dan Tiko.
Selain gaun pengantin putih dengan corak bunga 3D yang digayakan BCL dikatakan terlalu seksi, tular video yang mendakwa pasangan terbabit berpesta minuman keras.
Gara-gara video berkenaan, ramai menyindir BCL dan Tiko sebagai pasangan sekufu atau sama padan apabila didakwa masih mengamalkan gaya hidup bebas walaupun sudah mencecah usia 40-an.
Ruangan komen dibanjiri luahan peminat BCL yang seakan-akan kecewa dengan lelaki pilihannya sehingga ada yang membandingkan keperibadian Tiko dengan Allahyarham Ashraf Sinclair.
“Masya-Allah, kenapa ini pilihan BCL, dah dapat agak pilihan kali ini kurangnya,” tulis seorang netizen.
Pada komen sama, individu tersebut juga mendakwa wajah lelaki terbabit seperti sedang mabuk.
“Kenapa sampai mabuk suaminya, tengok muka pun boleh tahu. Carilah jalan yang benar, dah akhir zaman,” kata seorang lagi peminatnya kesal.

Keburukan Tiko
Tidak berhenti di situ, latar belakang dan status Tiko yang juga pegawai sebuah syarikat kewangan mula digali dan dikorek netizen habis-habisan.
Status dirinya yang merupakan seorang duda anak tiga dibongkar. Malah, ada banyak cerita tidak enak mula didedahkan netizen tentang lelaki berusia 43 tahun itu.
Satu daripadamnya adalah kisah perceraiannya dengan wanita bernama Arina Winarto kerana masalah pembayaran nafkah.
Media Indonesia menerusi laporan umum Mahkamah Agung Republik Indonesia menyatakan bahawa, talak yang dilafazkabn Tiko sekitar 2021 terhadap bekas isterinya berpunca dek tiada persefahaman. Mereka kerap berbalah tentang isu kewangan.
“Penyebab perbalahan adalah masalah kewangan berpunca daripada Tiko (pemohon cerai) kerana tidak mampu memberi nafkah yang cukup.
“Pemohon juga memiliki hutang dengan pihak lain yang timbul akibat bisnes dijalankan kurang berhasil.
“Pemohon dan isteri juga tidak lagi merasakan keharmonian, selain tidak pernah sama sekali menerima sokongan moral daripada Arina,” tulis laporan tersebut.

Kemeriahan majlis resepsi yang diadakan, sekali lagi mencuri perhatian netizen yang mempersoalkan kelibat sahabat rapatnya, Ariel yang sebelum ini pernah digosipkan menjalin hubungan cinta dengan ibu anak satu itu.
Perkara tersebut diluahkan sebilangan pengikut tegar BCL kerana hubungan akrabnya dengan vokalis Noah itu bukan baharu setahun dua.
Malah, tidak kurang yang berharap dapat melihat BCL dan Ariel bergambar bersama-sama dengan rakan selebriti lain.
Ketiadaan Ariel pada majlis pernikahan BCL turut menimbulkan spekulasi.
Netizen menjangkakan bahawa, penyanyi itu tidak hadir bukan kerana kecewa, namun enggan bertemu dengan bekas kekasihnya iaitu Luna Maya yang turut menjadi tetamu istimewa Bunga.
“Di mana Ariel? Patut tak muncul, ada bekas kekasihnya di situ,” kata seorang netizen.

Pesanan BCL
Enggan suami yang baru dinikahi menjeruk hati dikecam netizen, BCL akhirnya bersuara meminta lelaki itu tidak menghiraukan kata-kata jahat pihak luar.
Bagi BCL, setiap pandangan orang ramai mengenai suaminya tidak sepatutnya menjadi isu besar yang perlu diambil serius.
“Biarkan mereka menilai, salah faham dan mencipta gosip mengenai awak. Pandangan mereka bukanlah masalah awak. Teruskan menjadi individu yang baik, komited dengan cinta dan bebas dalam keaslian awak,” katanya
Dalam masa sama, dia juga meminta Tiko jangan sesekali memandang rendah setiap kelebihan dan kemampuan sendiri.
“Walau apa sahaja yang mereka cakap, jangan sesekali rasa ragu dengan nilai diri sendiri atau keindahan untuk sebuah kebenaran.
“Teruskan bersinar seperti yang awak pamerkan,” ujarnya.
Mungkin, itulah ‘harga’ yang perlu dibayar oleh BCL dan Tiko, saat mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Ternyata, tidak semua orang gembira dan senang apabila ibu kepada Noah Sinclair itu kembali bersuami, lebih-lebih lagi apabila majlis perkahwinan yang mereka anjurkan, dianggap keterlaluan dan layaknya seperti sebuah ‘pesta muda mudi’. Moga pernikahan kali ini menjadi yang terbaik buat Bunga dan Tiko.















