“SAYA minta maaf, Gaza (Palestin). Saya minta maaf kerana merakam keadaan kamu yang paling hodoh (untuk tatapan dunia), setelah selama ini saya berazam untuk mempamerkan sisi indah kamu.”
Kapsyen jurufoto dan pencipta kandungan Palestin, Motaz Azaiza di laman Instagram miliknya pada 29 Oktober lalu jelas menggambarkan kepiluan hati pemuda itu selepas melihat tragedi sedang berlaku di Gaza.
Dibesarkan di kem pelarian Deir al-Balah di Gaza, suasana perang bukanlah sesuatu yang baharu buat lelaki berusia 24 tahun itu.
Namun, dia kerap berkongsi potret dan gelagat masyarakat Gaza secara candid di laman Instagram miliknya biarpun tidak memiliki ramai pengikut.
Sehari sebelum konflik bermula pada 7 Oktober, Motaz sempat berkongsi senyuman seorang anak kecil di Gaza yang sedang membelakangi matahari terbenam.
Motaz juga sempat berkongsi gambar panorama awan bandar Gaza yang masih megah berdiri.
Siapa sangka, gambar-gambar tersebut merupakan antara momen terakhir sisi tenang Gaza yang dimuat naik Motaz dalam Instagram miliknya.
Bermula 8 Oktober, gambar-gambar senyuman dan ketenangan penghuni bumi Palestin itu terus hilang daripada paparan Instagram miliknya.
Sebaliknya, lensa Motaz mula membidik runtuhan bangunan serta ratapan masyarakat Gaza yang kehilangan keluarga serta harta benda akibat dibedil rejim Zionis.
Motaz kini berkhidmat dengan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk Pelarian Palestin berpangkalan di Gaza.
Untuk pengetahuan, Motaz pernah berkhidmat sebagai jurufoto ketika serangan Israel di Gaza pada 2014 dan 2021, namun usahanya tidak mendapat perhatian.
Tidak pasti di mana perbezaan pada usaha kali ini, dedikasi Motaz berhasil mendapatkan perhatian dunia sehingga dia berjaya memiliki 17 juta pengikut dari serata dunia.
Rata-rata masyarakat dunia menganggap perkongsiannya terhadap perkembangan di Gaza bagaikan jendela buat mereka untuk memahami situasi sebenar konflik Palestin-Israel.
Ini secara tidak langsung menjadikan Motaz sumber alternatif kepada masyarakat dunia yang tidak lagi mahu bergantung pada naratif media arus perdana.

Video paling banyak ditonton di Instagram miliknya adalah sewaktu dia dan rakan setugas bergegas membawa dua bayi berlumuran darah serta debu ke hospital.
“Saya tidak pandai berkata-kata untuk menerangkan situasi di sini (Gaza) kepada anda (pengikut).
“Oleh itu, saya mempertaruhkan nyawa saya untuk menunjukkan kepada anda semua yang saya temui dan lihat.
“Setiap saat yang saya rakam adalah untuk anda dan dunia.
“Agar kalian dapat lakukan sesuatu untuk menghentikan situasi ini,” rayunya dalam salah satu video.
Selain tragedi berdarah, perkongsian Motaz turut memaparkan kesukaran rakyat Palestin menjalani kehidupan harian mereka.
Antaranya adalah paparan keadaan orang ramai tergesa-gesa mengecas telefon apabila bekalan elektrik dipulihkan selama beberapa jam sebelum ia kembali disekat.
Motaz juga menyiarkan video seorang kanak-kanak kecil memakai jersi Liverpool menari di sebuah sekolah yang telah ditukar menjadi kem pelarian UNRWA.
Wajah-wajah kegembiraan dan penuh rasa syukur masih wujud di Gaza biarpun mereka sedang menghadapi ancaman pembunuhan beramai-ramai.
Bakat Motaz dalam mempamerkan penceritaan dalam setiap bidikannya menjadikan gambar-gambar yang dikongsi memiliki nilai sentimental serta mampu menyentuh hati orang ramai.
“Bayangkan anda belajar tentang Nakba 1948 di sekolah atau daripada datuk dan nenek anda.
“Tiba-tiba anda berada dalam situasi Nakba itu sendiri,” tulisnya dalam satu perkongsiaan.
Lebih dua bulan telah berlalu, serangan bom Israel ke atas penduduk Gaza masih lagi berterusan dan angka kematian semakin bertambah.
Setakat artikel ini ditulis, sekurang-kurangnya 17,700 orang awam terkorban, manakala lebih 49,300 lagi cedera dalam serangan rejim Zionis terhadap Palestin.
Sehingga 10 Disember, siasatan awal Komuniti Perlindungan Kewartawanan (CPJ) menunjukkan sekurang-kurangnya 63 wartawan merupakan antara yang terkorban.
Keadaan tersebut membuatkan graduan ijazah Bahasa dan Kesusasteraan di Universiti Al-Azhar, Gaza itu semakin putus harapan.
Biarpun usahanya mendapat perhatian dunia, namun ia masih belum cukup untuk mempengaruhi keputusan di peringkat geopolitik.
“Selepas semua berlaku, saya tidak rasa saya mampu bertahan sehingga ke penghujung (perang ini).
“Jadi, saya harap anda semua maafkan saya,” tulis Motaz bersama satu video yang memaparkannya berjalan di kawasan runtuhan.
Baru-baru ini, usaha Motaz mendapat pengiktirafan majalah terkenal GQ edisi Asia Barat yang menobatkannya sebagai Man of The Year.
Menurut Pengarang GQ, Ahmad Ali Swaid, penghargaan tersebut diberikan kerana keberaniannya merakam kekejaman Israel di Gaza.
“Motaz mengingatkan kami bahawa tidak kira anda berkuasa, siapa anda, dari mana asal usul anda, kita semua adalah sama.
“Manusia biasa, sama ada lelaki atau wanita, kita sama-sama boleh mengubah apa yang ingin kita lihat (dengan lebih baik).
“Dengan sikap berani membongkar kebenaran di sebalik kuasa besar yang digeruni, kami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Motaz,” katanya.
Di laman sosial, rata-rata netizen mahu majalah antarabangsa, Times menobatkan Motaz sebagai Person of The Year.
Perkara itu tercetus setelah ramai tidak berpuas hati apabila majalah tersebut memilih artis antarabangsa, Taylor Swift untuk anugerah berkenaan.














