fbpx

Radhi OAG mahu kekasih habiskan belajar, baru kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radhi masih belum punya perancangan untuk berkahwin kali ketiga dengan kekasih berusia 22 tahun.

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan OAG, Radhi belum merancang mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama kekasihnya yang juga seorang pelajar di sebuah universiti awam berusia 22 tahun selepas tiga tahun perkenalan.

Ujar Radhi atau nama lengkapnya Muhammad Radhu Razali, 46, buat masa ini dia mahu memberi ruang kepada gadis itu untuk menamatkan pengajiannya terlebih dahulu, selain mahu memberi fokus mengeluarkan sebuah album pada tahun hadapan.

“Kalau tanya saya, buat masa sekarang memang belum ada apa-apa perancangan untuk bernikah. Biarlah si dia habiskan belajar dahulu.

“Kami hanya berserah pada Allah SWT. Kalau Allah suruh sabar dulu, kami sabar, Itu sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kata Radhi lagi, dia tidak mahu bercakap lebih tentang perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama gadis tersebut kerana tidak tahu lagi apa yang bakal terjadi pada masa hadapan, selain mahu memberi tumpuan terhadap perancangannya untuk mengeluarkan album bersama OAG pada tahun hadapan.

“Perkara begini (perancangan untuk berkahwin), kita tidak boleh cakap banyak sebab tidak tahu lagi bagaimana. Biarkan dia habis belajar dan buat ibu bapanya gembira.

“Begitu juga saya. Kalau Allah gembira dengan kerja saya, maka Insya-Allah akan ada ke arah perkahwinan.

“Tapi sebelum berkahwin buat kali ketiga, saya mahu keluarkan album sebab dua perkahwinan sebelum ini, saya langsung tidak sempat hasilkan sebarang album. Jadi kalau saya kahwin dulu, memang akan lambatlah untuk keluarkan album nanti,” katanya.

Radhi yang ditemui ketika program Malam Tautan Kasih 2023 di sini, baru-baru ini turut memberitahu secara rasmi nama kumpulannya, OAG yang sebelum ini dikenali sebagai Old Automatic Garbage dan Orang Asia Genius, ditukar kepada Only Allah Greatest.

Kata Radhi, perubahan nama tersebut bertepatan dengan konsep album yang bakal diketengahkan nanti yang mengandungi lagu-lagu berunsurkan kerohanian.

“OAG kini dikenali secara rasmi sebagai Only Allah Greatest. Kami akan terus berkarya, tapi dengan mengetengahkan muzik dan zikir. Bagi saya, muzik tak salah sekiranya cara dibawa dalam keadaan baik.

“Kami akan jalankan sesi rakaman pada Januari depan dan lagu Soulawatt akan jadi single pertama dalam album ini. Tahun depan boleh disiapkan. Kami akan buat sebanyak tiga fasa rakaman,” katanya.

Terdahulu, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005, namun berpisah pada 8 Jun2010. Perkahwinan pertama itu, Radhi dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 17 tahun.

Radhi kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Nur Shahira Ayu Zahiri atau Ayu pada 14 April 2014, namun bercerai talak satu pada 16 Julai 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 8, dan Muhammad, 6. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI