BANGI – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang mengungguli Universiti Kuala Lumpur (UniKL) International Robattle Competition (UIRC) 2023 yang berlangsung selama tiga hari mulai 10 hingga 12 Disember.
Pertandingan anjuran kali ketiga peringkat antarabangsa yang diadakan di UniKL Malaysia France Institute (MFI) di sini menyaksikan IKBN Pekan muncul juara bagi kategori utama, Robot Combat.
Pasukan itu diwakili Muhammad Rusyidil Hasif Roslizam dan Aiman Izzul Khuarizmi Zakiayamani yang membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 berserta trofi dan sijil.
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Madya Ir. Dr. Azman Senin berkata, pertandingan UIRC mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya menarik 140 penyertaan daripada institusi tempatan dan antarabangsa.
“Sebanyak 140 pasukan menyertai UIRC 2023 termasuk 18 pasukan dari Iran dan 3 pasukan Indonesia yang bertanding untuk empat kategori iaitu Robot Combat, Line Following, Sumo Robot serta inovasi,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penutup UIRC 2023 di UniKL MFI, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azman turut menekankan bahawa anjuran program seumpamanya amat penting sebagai salah satu agenda memperkasakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan UIRC 2023 adalah melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah program ‘TVET Collaboration Hub’.
“Program ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan kewangan. Justeru, mewakili UniKL, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKDW berikutan meluluskan peruntukan berjumlah RM140,500.
“Ia juga melibatkan kerjasama institusi TVET robotik iaitu German Malaysian Institute (GMI), Mara Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Mara Petaling Jaya,” jelasnya.
Justeru, Azman berkata, beliau berharap agar UniKL MFI yang berteraskan kejuruteraan teknologi dapat menganjurkan lebih banyak pertandingan seumpamanya pada masa akan datang.
“Untuk rekod, UniKL MFI khususnya Robotic Soviety merupakan antara pemain industri robotik negara yang baru-baru ini telah memenangi pertandingan robot di peringkat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE