fbpx
GAMBAR HIASAN

‘Bukan semua ibu bapa orang senang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada keperluan mendesak untuk berbelanja besar bagi me­nganjurkan jamuan atau majlis graduasi anak-anak yang masih bersekolah di hotel dan tempat mewah.

Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kese­jahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, memadai jika ia diadakan di sekolah sahaja untuk meraikan golongan itu.

Jelas beliau, perlu ada ke­sedaran bahawa tidak semua ibu bapa mampu menyediakan wang yang besar untuk meraikan anak-anak mereka.

“Pada yang mampu Alhamdulillah, tetapi kena ingat ada juga keluarga yang kurang berkemampuan.

“Yang penting bukan majlis itu, tetapi adalah bagaimana kita berjaya membina anak-anak dari awal. Kadangkala kita ini berlebihan dalam menganjurkan program atau majlis.

“Sebenarnya yang diraikan itu bukan pada anak-anak, tetapi lebih kepada jemputan khas, jemputan rasmi dan sebagai­nya. Pada saya, tidak sesuailah,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Beliau berpandangan, tiada masalah untuk menganjurkan majlis tersebut di hotel atau lokasi lain jika pihak sekolah berkemampuan dari segi tajaan atau sumbangan.

“Mungkin ada (pihak sekolah) dapat tajaan, sumbangan atau ramai ibu bapa mahupun PIBG bersetuju biayai anak-anak yang kurang mampu tanpa membebankan ibu bapa, boleh teruskan.

“Tetapi kalau menyebabkan ibu bapa yang kurang mampu tidak dapat bersama raikan anak (di hotel dan sebagainya), saya fikir tidak perlulah kita adakan program seperti itu.

“Apa juga yang kita buat walaupun bertujuan baik iaitu untuk meraikan murid-murid cemerlang dalam pendidikan, perlu ukur baju di badan sendiri.

“Terutamanya apabila kita melibatkan kumpulan ibu bapa ataupun murid-murid yang ramai,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN