fbpx

Amin kecewa sikap pemain Young Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA pemain negara, Harizan Fariz (kiri) dan Jeffrynus Andywalfian berusaha untuk mengekang pergerakan pemain Mesir, Mohktar Baseem pada aksi klasifikasi saingan Piala Dunia Hoki Remaja semalam.

MASIH banyak yang perlu diperbaiki skuad hoki remaja lelaki kebangsaan meskipun menang 4-1 ke atas Mesir dalam aksi penentuan tempat kesembilan hingga 16 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Ketua jurulatih pasukan hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim tanpa berselindung mengkritik barisan pemainnya yang dilihat terlalu mengambil mudah cabaran pasukan dari benua Afrika itu.

Selain itu, beberapa kesilapan dibuat barisan pertahanan dan serangan Young Tigers juga mendapat perhatian Amin yang menganggap ia menjadi punca mengapa Malaysia gagal mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar.

Ketumpulan jentera serangan juga turut menjadi persoalan apabila Malaysia hanya menjaringkan tiga daripada 16 pukulan sudut penalti yang diberikan sepanjang 60 minit permainan.

“Saya gembira dengan kemenangan ini, kita berjaya memastikan pasukan berada dalam kelompok kesembilan hingga 12, tetapi ada banyak kesilapan mudah di bahagian pertahanan dan serangan. Kita dapat 16 pukul sudut penalti dan hanya menjaringkan tiga gol.

“Ini sangat teruk, perkara ini perlu diperbetulkan secepat mungkin kerana lawan di peringkat seterusnya mungkin akan beri kesukaran kepada kita. Pemain kena bersedia dan bukannya berada pada tahap sama,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Selain itu, beliau juga berpendapat tekanan dihadapi pemain-pemain negara yang rata-ratanya pemain muda turut menjadi salah satu faktor mengapa mereka kerap melakukan kesilapan mudah dalam perlawanan.

“Bagi saya, semua pemain tidak beraksi dengan baik ketika berdepan Mesir dan saya berharap mereka bangun dan memperbaiki kelemahan tersebut. Ia bukan sahaja melibatkan nama besar dalam pasukan, malah semua pemain,” ujarnya.

Menjelang aksi penentuan tempat kesembilan hingga 12 esok, Malaysia dijangka berdepan laluan sukar apabila bakal menentang Belgium yang berjaya membelasah Kanada 12-0 pada perlawanan semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI