Petang Khamis lalu tanpa diduga kita menerima berita duka apabila kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang hilang pada 7 Disember lalu ditemui mati akibat dibunuh pihak tidak bertanggungjawab.
Pembunuhan itu sangat meruntun jiwa kerana polis memaklumkan mangsa telah mati 48 jam sebelum mayatnya dibuang di anak sungai berdekatan Apartmen Idaman di Damansara Damai.
Bermula pukul 4.30 petang Khamis lalu, agensi berita tempatan berlumba-lumba melaporkan perkembangan kes sehinggalah lewat malam di mana polis memaklumkan bahawa kes itu turut melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sebaik polis memaklumkan Zyan Rayyan dibunuh, dapat kita perhatikan bagaimana ‘tentera bawang’ bersatu hati menunjukkan tanda simpati ke atas kanak-kanak malang itu dan keluarganya.
Kumpulan-kumpulan WhatsApp, Telegram dan media sosial lain tidak putus-putus berkongsi mengenai perkembangan terbaharu mengenai kes itu yang rata-ratanya sedih, marah serta kecewa dengan apa yang berlaku.
Pelbagai teori dilontarkan oleh netizen yang tanpa disedari sebahagiannya telah mengguris perasaan keluarga sehingga datuknya, Zahari Mohd. Reba, 55, merayu supaya orang ramai segera berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan mereka.
Ibu bapa yang mempunyai anak autistik khususnya bersatu mempertahankan keluarga berkenaan dan berkongsi pengalaman bukan mudah untuk mereka menguruskan anak istimewa itu kerana ia menuntut kesabaran yang tinggi.
Semua pihak sebenarnya tidak sabar untuk mengetahui perkembangan positif kepada kes ini agar pembunuhnya segera ditangkap untuk memberi keadilan kepada kanak-kanak itu.
Sehingga saat ini, polis bertungkus lumus mengumpul bukti dari sekecil-kecil maklumat untuk menyelesaikan kes yang disifatkan bukan straight forward.
Zayn Rayyan yang bermaksud penghias syurga merupakan satu lagi tragedi pembunuhan melibatkan kanak-kanak yang berlaku di negara kita.
Nurin Jazlin Jazimin, 8, Nurul Huda Abdul Ghani, 10, Nurul Nadirah Abdullah @ Dirang, 5, dan Noor Amila Edrus Norsham, 5, merupakan antara mangsa pembunuhan yang pernah menggemparkan negara sebelum ini.
Sememangnya kes sebegini boleh mengganggu emosi sesiapa sahaja.
Tergamak si pembunuh menganiaya kanak-kanak kecil demi memenuhi nafsu sendiri yang sememangnya tidak dapat dipuaskan selama-lamanya.
Lupakah kita bahawa hidup ini hanyalah sementara sedangkan hukuman yang menanti di ‘sana’ nanti lebih perit untuk dihadapi?
Dari segi logiknya, sebagai makhluk yang dikurniakan akal sudah tentu kita tidak tergamak untuk berbuat kejahatan sedemikian.
Tetapi apa yang hendak dikatakan kerana manusia itu sering tewas dengan hasutan penghulu ‘kegelapan’.














