fbpx

Konflik Palestin-Israel: Majlis Keselamatan PBB gagal – Guterres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guterres ketika berucap di Forum Doha semalam. – AFP

DOHA, QATAR – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengakui bahawa kredibiliti dan kewibawaan Majlis Keselamatan PBB telah tercalar disebabkan kegagalan badan itu dalam mengatasi konflik di Gaza, lapor laman berita TRT World semalam.

“Kelewatan dalam menyelesaikan konflik telah menyebabkan kewibawaan serta kredibiliti majlis sangat terjejas selain resolusi tidak dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Forum Doha yang diadakan di Qatar semalam.

Guterres selain itu mengkritik sikap Majlis Keselamatan PBB yang berdiam diri terhadap peperangan di Gaza.

“Serangan Hamas pada 7 Oktober lalu dan diikuti dengan pengeboman tanpa henti Israel ke atas Gaza disahut dengan tindakan berdiam diri anggota majlis.

“Selepas sebulan, pihak majlis meluluskan resolusi (berhubung desakan bantuan kemanusiaan), yang mana saya amat mengalu-alukannya. Malangnya, ia tidak dilaksanakan dengan baik,” ujarnya.

Guterres telah berkali-kali mendesak Majlis Keselamatan PBB agar meluluskan resolusi gencatan senjata selepas tiada perlindungan berkesan diambil ke atas orang awam di Gaza.

Beliau mengulangi desakannya itu semalam bagi mengelak malapetaka kemanusiaan yang berterusan.

“Malangnya, Majlis Keselamatan gagal bertindak demikian. Namun, ini tidak bermaksud ia tidak akan dilakukan justeru, saya berjanji tidak akan berputus asa,” tegasnya.

Jumaat lalu, Amerika Syarikat menjadi satu-satunya ahli Majlis Keselamatan PBB yang menolak resolusi dengan menggunakan kuasa veto bagi mendesak gencatan senjata segera di Gaza, dalam tindakan yang menerima kecaman seluruh dunia. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI