fbpx
Ketika kebanyakan lokasi paling sejuk di muka bumi adalah kawasan tidak dihuni manusia atau kampung-kampung kecil, Yakutsk di wilayah Sakha, Russia yang dihuni 300,000 orang disifatkan sebagai kota utama (major city) tersejuk di dunia.

Kehidupan di ‘kota beku’ Yakutsk, kota tersejuk dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERADA di kawasan yang bersuhu sejuk ekstrem di bawah -58 darjah Celsius telah menyebabkan kot disarung seorang pelancong, Danila Kalinkin membeku.

Itulah pengalaman dirasai Kalinkin ketika berhadapan cuaca sejuk luar biasa di Yakutsk, wilayah Sakha, Russia. Wilayah Sakha juga dikenali sebagai Yakutia.

“Sejuk betul. Jaket saya kainnya lembut, tetapi apabila saya berada di sini, ia jadi seperti plastik beg.

“Telefon bimbit saya dicas 90 peratus. Setelah saya keluar hotel dan pegangnya dalam tempoh 15 hingga 20 minit, bateri pun habis,” katanya kepada satu agensi media antarabangsa.
Baru-baru ini media melaporkan cuaca Artik telah menyelubungi Russia dengan suhu di ‘hutan belantara’ Siberia itu telah jatuh kepada -58 darjah Celsius.

Yakutsk merupakan ibu kota untuk wilayah Sakha yang terletak di sebelah timur Siberia.

Menurut BBC Science Focus dan Livescience, Yakutsk merupakan kota paling sejuk di dunia.

Ketika kebanyakan lokasi paling sejuk di muka bumi adalah kawasan tidak dihuni manusia, Yakutsk disifatkan kota utama (major city) tersejuk di dunia.

Ia juga merupakan kota paling besar di dunia yang terbina di atas permafrost iaitu lapisan ais bawah tanah.

Berkeluasan 122 kilometer persegi, Yakutsk berkembang pesat dan mempunyai kelengkapan penuh kehidupan kota seperti jaringan pengangkutan awam, panggung wayang, universiti dan lapangan terbang.

Yakutsk merupakan kota tersejuk di muka bumi, walaupun hakikatnya ia bukanlah kawasan yang paling hampir dengan Kutub Utara.

Di pasar sekitar Yakutsk, ikan dijual secara beku dan dibungkus dalam kotak.

Peti sejuk tidak diperlukan dan para penjual turut menyarung topi bulu besar.

“Anda hanya perlu mempunyai pakaian panas berkualiti dan semuanya akan baik-baik saja.

“Perkara utama adalah untuk terus bergerak supaya darah anda sentiasa mengalir,” kata seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Pyotr.

IKAN dan haiwan lain di pasar dijual di luar secara beku.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Anastasia Gruzdeva berkata, sesiapa sahaja bergelut melawan kesejukan itu.

“Anda perlu menyesuaikan diri dan berpakaian dengan sewajarnya atau anda akan menderita,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Nurgusun Starostina yang menjual ikan sejuk beku di pasar berkata, tiada rahsia khusus untuk menangani masalah kesejukan.

“Hanya menyarung pakaian yang memberi anda rasa hangat. Pakai pakaian berlapis-lapis seperti kubis,” ujarnya.

Yakutsk adalah sebuah bandar yang mempunyai penduduk sekitar 300,000 orang.

Pada abad ke-13, orang Siberia telah berhijrah dan bergabung dengan kumpulan orang asli tempatan yang lain.

Untuk makluman, kemuncak musim sejuk di bandar itu berlaku selama enam hingga tujuh bulan iaitu dari Oktober hingga Mei.

Suhu musim sejuk di bandar berkenaan biasanya sekitar -45 hingga -50 darjah Celsius. Januari adalah waktu paling sejuk di bandar berkenaan.

Pada bulan berkenaan, purata suhu di situ adalah -42 darjah Celcius dan bandar itu mendapat cahaya matahari kurang daripada empat jam sehari.

Biarpun kebanyakan penduduknya sudah terbiasa dengan suhu beku, namun mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga tambahan untuk memanaskan badan.

Musim sejuk di Yakutsk boleh menjadi melampau sehingga menyebabkan selesema serius.

Sementara itu, berdasarkan laporan BBC Science Focus, rekod suhu tertinggi yang direkodkan di bandar itu adalah pada 5 Februari 1891 iaitu -64.4 darjah Celsius.

Laporan itu juga menyatakan terdapat beberapa sebab Yakutsk menjadi bandar paling sejuk di dunia.

Pertama adalah lokasinya yang jauh dari mana-mana pengaruh maritim dan ia berada 725 kilometer (km) dari Laut Okhotsk.

Bandar itu juga berada di lembah sungai Lea yang memerangkap udara sejuk. Selain itu, sistem tekanan tinggi menyebabkan hal tersebut berlaku semasa musim sejuk.

Selain itu, kawasan Siberia mengalami tekanan tinggi yang dikenali sebagai Siberian High.

Corak cuaca berkenaan membawa jisim udara sejuk dari Artik, sekali gus menyebabkan tempoh dingin berpanjangan.

Ketika musim sejuk, Yakutsk menerima cahaya matahari sangat sedikit.

Faktor lain yang menyebabkan bandar itu sejuk adalah kerana Yakutsk berada di atas tanah permafrost iaitu permukaan bumi beku selamanya.

Sementara dalam satu perkongsian di portal, Ella Morton berkata, penduduk Yakutsk mempunyai beberapa kaedah untuk bertahan dalam kesejukan yang tiada henti.

“Pertama mereka akan luangkan sedikit masa di luar untuk tempoh lima hingga 10 minit untuk menghirup udara segar. Jika terlalu lama di luar, mereka akan keletihan, rasa pedih di muka dan sakit berpanjangan pada jari.

“Pemilihan pakaian yang betul adalah sangat penting untuk kehangatan maksimum seperti but kulit bulu rusa, topi dan kot atau baju tebal kulit musang.

“Kelengkapan sedemikian mahal, tetapi ia adalah satu pelaburan yang betul bagi membolehkan kita tidak mati beku,” terangnya.

Utiliti seperti paip dibina lebih tinggi dari tanah untuk mengelak air membeku terutamanya ketika musim sejuk.

Ella juga menjelaskan, pada musim sejuk di Yakutsk, pemakaian cermin mata di kawasan luar tidak digalakkan.

Ini kerana, logam cermin mata boleh membeku dan melekat pada muka.

Namun begitu, Yakutsk mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan boleh berfungsi dalam keadaan sejuk melampau.

Di bandar itu, bas dipasang dengan kaca tebal untuk melindungi penumpang daripada kesejukan pada musim sejuk.

Untuk memastikan bas sentiasa hidup, ia dipasang dengan pemanas auto Webasto yang berfungsi memanaskan enjin.

Pada sebelah malam, enjin kenderaan terpaksa dibalut untuk menghalangnya daripada menjadi terlalu sejuk.

Tambah menarik, majoriti pengangkutan awam di bandar tersebut tidak menggunakan petrol atau diesel, sebaliknya gas metana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN