fbpx

Bilionair, individu ketujuh terkaya Malaysia meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Tan Sri Dr Chen Lip Keong.

PETALING JAYA – Bilionair yang juga individu ketujuh terkaya di Malaysia, Tan Sri Dr. Chen Lip Keong meninggal dunia pada usia 75 tahun, Jumaat lalu.

Berita kematian mendiang dimaklumkan oleh NagaCorp Ltd (Limited) menerusi satu kenyataan hari ini.

NagaCorp Ltd adalah sebuah syarikat yang diasas oleh mendiang sendiri dan disenaraikan di Hong Kong.

“Lembaga pengarah NagaCorp Ltd dengan rasa sedih mengumumkan bahawa Tan Sri Dr. Chen Lip Keong, Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Kumpulan dan pengarah eksekutif syarikat, meninggal dunia pada 8 Disember 2023 kerana sakit.

“Bagi pihak semua kakitangan kumpulan, Lembaga Pengarah ingin melahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian Dr. Chen (Lip Keong) dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarganya.

“Lembaga Pengarah juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Chen di atas kepemimpinan, bimbingan dan sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada kumpulan semasa beliau memegang jawatan,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, mendiang disifatkan sebagai seorang individu yang hebat apabila berjaya membentuk sebuah kumpulan yang kukuh selepas lebih 28 tahun.

“Pengalaman mendiang dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pengurusan selama bertahun-tahun adalah penting kepada kejayaan kumpulan.

“Di bawah kepimpinan berwawasan Dr. Chen, kumpulan telah mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang luar biasa selepas bertahun-tahun mengemudi perniagaan yang teliti dan pengurusan yang mahir dan strategik,” katanya.

Lembaga Pengarah juga mengumumkan pelantikan semula Chen Yiy Fon sebagai pengarah eksekutif syarikat berkuat kuasa 10 Disember 2023.

“Yiy Fon ialah anak kepada mendiang dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif – Operasi syarikat sejak 5 April 2022.

“Syarikat akan meneruskan operasi perniagaan kumpulan dengan mematuhi perniagaan strategi yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah.

“Lembaga Pengarah berpendapat bahawa kematian Dr Chen tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas operasi kumpulan,” katanya.

Menurut kedudukan terbaharu majalah perniagaan AS, Forbes setakat Mei 2023, Lip Keong adalah individu ketujuh terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan atau nilai bersih RM13.11 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI