fbpx

Akauntan ditemui maut tanpa seurat benang di Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki tempatan tidak berpakaian dalam keadaan meniarap dijumpai orang awam di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 6 pagi.

Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras dan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bergegas ke lokasi.

“Hasil siasatan di lokasi, kita menjumpai mayat lelaki dalam keadaan tidak berpakaian serta berkedudukan meniarap di tepi jalan.

“Selain itu, mayat didapati mengalami beberapa kecederaan di badan. Mayat mangsa dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan kejadian. Semasa dijumpai tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersama atau berhampiran si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pegawai perubatan dari Hospital Ampang telah mengesahkan kematian mangsa.

Jelasnya lagi, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk proses bedah siasat esok.

“Identiti si mati telah dikenal pasti dan disahkan oleh waris.

“Si mati berusia 28 tahun bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta,”ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai berdekatan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI