fbpx

Siti Mariah mohon maaf hilangkan diri, mahu lupakan kisah lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah dan Che Safuan di samping Siti Mariah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Sireh, Naka dekat Kuala Nerang hari ini.

KUALA NERANG – Kerinduan sepasang suami isteri iaitu Hamzah Said, 65, dan Che Safuan Abd. Rahman, 61, terhadap anak perempuan mereka yang menghilangkan diri sejak 2015  akhirnya terlerai apabila mereka bertemu hari ini.

Siti Mariah Hamzah, 38, pulang ke pangkuan keluarganya itu pada pukul 12 tengah hari tadi dan wanita itu disambut dengan suasana penuh kesayuan.

Wanita itu berkata, kepulangannya itu bukan sekadar untuk melepaskan kerinduan, tetapi membawa sejuta pengharapan untuk kehidupan baharu yang diidam-idamkan selepas ini bersama keluarganya.

“Ada banyak yang ingin saya perbetulkan selepas ini. Moga Allah mempermudahkan segala urusan. Saya minta maaf banyak-banyak kepada emak dan ayah kerana sudah lama tidak balik (rumah), memang rindu sangat.

“Inilah tempat saya dilahirkan, tempat bermain memang sangat rindu. Saya hendak memulakan hidup baharu dan minta sangat segala urusan selepas ini dipermudahkan. Terima kasih kepada mereka yang membantu mencari saya selama ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sireh, Naka di sini hari ini.

Siti Mariah kemudian memeluk ibu bapanya sekali gus membayangkan kerinduan masing-masing.

Wanita itu yang kini menetap di Labu, Negeri Sembilan menaruh harapan untuk memulakan kehidupan dan melupakan semua kisah yang berlaku sebelum ini.

Sementara itu, Che Safuan memberitahu, tiada kata-kata untuk menggambarkan perasaan apabila anak yang dirindui selama lapan tahun akhirnya pulang.

“Alhamdulillah terubat rindu. Hari ini buat (masak) laksa makanan kegemarannya, bila sampai terus peluk dan pegang. Ada anak (depan mata) semuanya jadi seronok, terubat rindu. Macam hilang beban dan rindu yang saya tanggung setiap hari sejak dia menghilangkan diri,” ujarnya.

Bagi Hamzah, keluarganya enggan lagi memperkatakan kisah yang terjadi sebelum ini.

“Alhamdulillah, yang penting anak sulung Kak Long sudah balik. Bila sampai rumah tadi kami berpelukan dan Kak Long mencium dan memohon ampun kepada kami berdua.

“Adik beradik lelaki dia pun ada. Kami sangat gembira hari ini, tak tergambar perasaan,” ujarnya.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak sulungnya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita.

Siti Mariah dilaporkan hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara dan merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang kaunseling. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI