fbpx

Pesalah seksual diburu kes bunuh Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEGAWAI dan anggota dari Unit Forensik Polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan (gambar kecil) berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai semalam.

PETALING JAYA – Polis melancarkan operasi khas dengan menapis setiap individu yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan seksual bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Siasatan menyeluruh itu akan memberi fokus kepada kumpulan penduduk dan penghuni yang mendiami Aparmen Idaman di Damansara Damai di sini selain penduduk di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tapisan besar-besaran juga akan dibuat melibatkan data cap jari orang yang mempunyai rekod jenayah terutama mereka yang terlibat dalam kesalahan seksual.

“Selain itu, mereka yang dalam perhatian pihak polis melibatkan penduduk tempatan atau di luar kawasan, semua kita akan beri perhatian,” katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini kesan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek kes berkenaan telah dihantar ke jabatan kimia bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

ANJING Pengesan (K9) dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai semalam.
– FARIZ RUSADIO

Bagaimanapun, beliau mengakui kerumitan yang perlu dihadapi pihaknya bagi merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam usaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Mengambil kira kes ini bukan straightforward (mudah), jadi pihak polis ketika ini mempu­nyai keterangan yang agak terhad untuk kita melakukan sebarang tangkapan dalam masa yang terdekat ini.

“Jadi ada dua fasa siasatan, pertama berkaitan penca­rian dan mengumpul keterangan fizikal di tempat kejadian dan sekitar kawasan kejadian.

“Kedua melibatkan siasatan dari rumah ke rumah di mana kawasan ini ada lebih kurang 18 blok melibatkan 2,400 buah rumah,” katanya.

Hussein berkata, keputusan ujian cap jari dan DNA dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi dan ia diharap dapat membantu bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

“Kita sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk mendapatkan maklumat forensik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid pula memaklumkan, setakat petang semalam, tiga daripada 18 blok perumahan di Apartmen Idaman di sini telah diperiksa bagi mengumpulkan segala maklumat berkaitan kematian Zayn Rayyan.

Katanya, ia melibatkan sebanyak 540 unit daripada 18 blok yang me­nempatkan 2,484 unit rumah.

“Siasatan juga masih dijalankan dengan memeriksa saliran air berdekatan Apartmen Idaman di sini yang menjadi lokasi penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Dalam pada itu, siasatan polis kini turut dibantu dua anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) iaitu Jimmy dan Ruby bagi melakukan penjejakan se­mula terutama di sepanjang kawasan saliran air semalam.

Kedua-dua anjing pengesan itu dilihat berada di lokasi kejadian mayat Zayn Rayyan ditemui selain beberapa pegawai dan anggota forensik dari Bukit Aman.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kisah pembunuhan tragis Zayn Rayyan pada Khamis lalu yang mayatnya ditemui di kawasan anak sungai selepas beberapa jam dilaporkan hilang.

Hasil bedah siasatan kemudian membongkar punca kematian kanak-kanak malang itu adalah disebabkan dibunuh dengan beberapa kesan jerut di leher.

Kejadian itu turut menyebabkan penghuni kediaman Apartmen Idaman kini hidup dalam ketakutan berikutan belum ada suspek yang ditahan berhubung kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI