fbpx

97 tercalon terima Darjah, Bintang Kebesaran, Pingat Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin

SHAH ALAM – Seramai 97 individu tersenarai dikurniakan pelbagai Darjah dan Bintang Kebesaran serta pingat negeri bersempena Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Harris Kasim berkata, kesemua senarai percalonan itu telah diperkenan Sultan Sharafuddin selepas berunding dengan Dewan di-Raja.

Katanya, calon-calon itu disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 5 Oktober lalu.

“Kerajaan negeri telah menawarkan pencalonan Darjah dan Bintang Kebesaran serta pingat pada 16 Jun dan pencalonan terbuka sehingga 16 Ogos lalu.

“Sejumlah 2,762 pencalonan diterima dengan 1,032 daripadanya adalah bagi pencalonan Darjah dan Bintang Kebesaran, manakala 1,730 permohonan pingat negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haris yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran negeri memberitahu, masing-masing seorang individu telah tercalon bagi Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati 1 dan 2 (D.K.1 dan D.K.II).

Tiga penerima pula dicalonkan bagi darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Dato’ Seri bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Seri bagi ahli wanita.

“Dua individu pula tersenarai bagi darjah Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah dan membawa gelaran Dato’ Setia bagi ahli lelaki dan Datin Paduka Setia bagi ahli wanita.

“Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) pula kepada sembilan orang dan 13 individu bagi pencalonan Darjah Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S)yang masing-masing akan membawa gelaran Dato dan Datin Paduka,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, 15 calon tersenarai bagi penganugerahan Setia Mahkota Selangor (S.M.S) diikuti 13 bagi Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

“Selain itu, 15 lagi bagi Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) dan 16 untuk Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S). Bagi Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S) pula melibatkan dua pencalonan serta tujuh individu untuk Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

“Semua calon yang disenarai pendek telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” tegasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI