fbpx

Sampai sekarang masih belajar berlakon – Fazlina Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLINA Ahmad Daud

BERGELAR pewaris kepada seniman dan seniwati tersohor, Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarhamah Datin Saadiah bukanlah tiket untuk pelakon berkaliber, Fazlina Ahmad Daud mewarisi darah seni yang mengalir dalam tubuhnya.

Kata Fazlina, dahulu dia tidak pernah terfikir untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh kedua-dua orang tuanya dalam dunia seni, berbanding kakaknya iaitu pelakon popular, Fauziah Ahmad Daud atau mesra disapa kak Ogy.

Minat itu ada, namun jika hanya bersandarkan itu semata-mata tidak cukup jika tiada ilmu yang ditimba untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya serius.

Berkat kerja kerasnya dalam menimba ilmu lakonan, hari ini, aktres yang kini berusia 48 tahun itu boleh dianggap antara pelakon hebat yang mampu meninggalkan kesan pada penonton terhadap apa jua naskhah.

Fazlina percaya, bakat sebenarnya boleh digilap andai ada usaha dan kena dengan caranya. Pertemuan HibGlam bersama Fazlina baru-baru ini mengungkap serba sedikit rahsianya bergelar anak seni yang miliki jiwa besar dalam bidang lakonan.

HIBGLAM: Selepas lebih 30 tahun bergelar anak seni, bagaimana Fazlina menjaga nilai eksklusif sebagai seorang pelakon untuk terus kekal berada dalam industri?
Fazlina: Saya akan mengelak daripada terpalit dengan kontroversi-kontroversi tidak munasabah. Segala apa yang terjadi dalam industri yang tidak melibatkan saya, saya tidak akan memberikan komen atau masuk campur.

Saya tidak punya hak untuk memberikan apa-apa komen sebab tidak tahu perjalanan sebenar yang berlaku terhadap sesuatu isu. Tapi kalau melibatkan saya, sudah tentu saya akan bersuara, malah lebih lantang daripada kak Ogy (kakaknya) untuk mempertahankan diri.

Bagaimana pula anda berdepan dengan kecaman-kecaman netizen yang semakin lantang mengkritik dalam laman sosial jika berdepan dengan perkara tersebut?

Sejujurnya saya tidak akan ambil hati. Mereka (netizen) berhak untuk bercakap apa sahaja. Terpulang pada mereka. Sebenarnya, berbalik pada kita sama ada untuk menerima dengan baik atau memeningkan kepada dengan memikirkan tentang komen-komen netizen.
Itu adalah hak kebebasan bersuara. Semua orang punya hak untuk meninggalkan komen dan mengeluarkan apa sahaja yang terbuku dalam hati dan minda mereka. Cuma saya minta, hormatilah satu sama lain.

Melihat kehadiran pelakon baharu dalam kalangan pempengaruh media sosial yang masuk bersaing dalam industri. Adakah anda senang dengan kehadiran mereka?

Siapa saya untuk menidakkan rezeki orang lain? Itu adalah rezeki mereka. Saya perlu menerima kehadiran mereka dengan baik dan memberikan sokongan. Sebagai pelakon senior, saya kena membantu mereka juga.

Cuma saya berharap pendatang-pendatang baharu ini, sebelum menjejakkan kaki dalam industri, pergilah kelas untuk menuntut ilmu. Terlalu ramai cikgu-cikgu lakonan yang anda boleh timba ilmu untuk mempersiapkan diri. Sekurang-kurangnya biar ada asas dalam bidang lakonan. Jadi mereka perlu sedar diri dan sedar ruang sebelum memasuki industri. Ingat, bakat boleh diasah.

Mungkin tidak sukar untuk menempatkan diri dalam industri kerana sudah tentu mewarisi bakat daripada kedua-dua orang tua yang bergelar seniman dan seniwati. Komen anda?

Siapa cakap? Awal-awal dahulu saya langsung tidak merasakan diri saya punya bakat dalam bidang lakonan.

Bahkan kakak saya sendiri (Ogy) melihat saya memiliki bakat, walaupun kami berkongsi darah seniman dan seniwati ibu bapa kami. Kak Ogy hantar saya masuk ke kelas lakonan untuk menimba ilmu. Bahkan, sehingga sekarang saya masih lagi belajar tentang ilmu lakonan.

Saya banyakkan menonton drama-drama luar negara untuk menimba ilmu supaya lakonan saya tidak sama dengan orang lain. Apabila bergelar pelakon, saya memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh produksi, pengarah dan stesen televisyen untuk melakukan yang terbaik.

Apa harapan Fazlina untuk masa akan datang?

Saya tidak akan berada dalam industri ini selama-lamanya. Saya berharap sekurang-kurangnya saya ada pewaris yang meneruskan legasi kedua-dua orang tua saya. Tapi malangnya tiada. Saya ada anak dan mereka adalah cucu kepada seniman dan seniwati. Tapi maaf cakap, mereka tiada bakat dan juga minat. Anak-anak saya tidak seperti datuk dan nenek mereka. Alangkah bagusnya kalau anak-anak ikut jejak saya.

Tapi tiada. Kalau mereka mahu (berlakon), saya akan sarankan untuk pergi belajar. Tapi sejujurnya, bergelar anak seni bukanlah seindah yang disangka. Kami sebenarnya tiada tempat dalam industri. Bukan mudah untuk meneruskan hidup sebagai anak seni. Kami kena bekerja keras.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI