fbpx

Polis tumpaskan sindiket pelaburan hartanah tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHSIN menunjukkan fail yang dirampas untuk siasatan lanjut di sebuah ibu pejabat syarikat pelaburan di kompleks perniagaan Medan Pekan, Arau hari ini.

ARAU – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pelaburan tidak sah selepas menahan tiga pengarah syarikat serta seorang ejen dalam tiga serbuan berasingan hari ini dan semalam di sekitar Perlis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, dalam serbuan pada pukul 9 pagi, seorang ejen pelaburan tidak sah berusia 30-an berjaya ditahan kompleks perniagaan Medan Pekan, Arau hari ini.

“Satu operasi digerakkan terhadap ibu pejabat syarikat yang berpangkalan di Arau ini susulan penahanan tiga pengarah syarikat berusia lingkungan lewat 40-an hingga lewat 50-an dalam dua serbuan di premis berasingan juga di sekitar bandar ini semalam.

“Dalam serbuan sama, polis turut merampas sejumlah fail, lima buah komputer serta dokumen pelaburan yang dipercayai digunakan sebagai medium memperdayakan mangsa,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Mohsin, serbuan terhadap suspek dijalankan rentetan laporan pengadu berusia 31 tahun yang mendakwa diperdaya penipuan hartamah dan dijanjikan pulangan tinggi menggunakan konsep sewa atas sewa.

Kata Ahmad Mohsin lagi, bagi kontinjen Perlis sahaja terdapat tiga laporan polis terhadap aktiviti pelaburan syarikat tersebut melibatkan kerugian RM39,000.

Difahamkan, kebanyakan mangsa mendakwa hanya menerima dividen untuk beberapa bulan pertama sebelum syarikat diam dan memberikan banyak alasan bagi pembayaran bulan-bulan berikutnya.

“Siasatan awal mendapati syarikat ini mempunyai enam cawangan di beberapa negeri seluruh Malaysia namun hanya satu sahaja yang masih lagi aktif iaitu ibu pejabatnya di Arau.

“Polis percaya jumlah kerugian dialami mangsa penipuan lebih tinggi susulan penemuan kira-kira 1,255 fail pelaburan melibatkan pelabur dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI