fbpx

Satu dunia marah hadiah mainan bentuk makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mainan serupa makanan yang dihantar oleh organisasi dunia tersebut kepada kanak-kanak kebuluran di Palestin.

PETALING JAYA – Sebuah organisasi dunia teruk dikecam oleh pengguna media sosial seluruh dunia gara-gara menghantar mainan serupa makanan kepada kanak-kanak di Gaza, Palestin.

Menurut ciapan oleh seorang warga Palestin dikenali Muhammad Smiry, beliau memuat naik satu gambar memaparkan mainan lengkap dengan semua makanan seperti burger, aiskrim, kentang goreng dan susu.

“Daripada memberi anak-anak kita makanan, organisasi dunia ini memberi mereka mainan yang kelihatan seperti makanan,” ciap Muhammad Smiry.

Pemberian itu menimbulkan kemarahan pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan organisasi dunia terbabit seakan-akan ‘menyeksa’ kanak-kanak kebuluran.

Orang ramai turut berkata, mainan tidak mempunyai sebarang fungsi untuk kanak-kanak Palestin meneruskan kehidupan sebaliknya barangan yang sepatutnya disumbangkan untuk mengisi perut adalah makanan sebenar.

“Betapa tidak sensitifnya mereka. Tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak menyedari bahawa manusia memerlukan makanan sebenar. Berhenti mempersendakan ketidakberdayaan mereka,” komen Azaadi.

“Mereka mempersendakan kesakitan yang dialami oleh anak-anak Gaza,” ciap Hajra.

“Ironinya di sini ialah nuget ayam plastik pastinya memerlukan kos yang lebih tinggi untuk dihasilkan daripada nuget ayam sebenar,” komen Ryan Badger.

“Ini sangat mengerikan. Ia seperti mengejek kesakitan dan penderitaan orang di sana,” ciap @itsallbakwas.

Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat lebih 77,000 ulang ciap dan 156,000 tanda suka.

Terdahulu, Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas yang memerintah Gaza, selepas satu serangan dilancarkan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Sejak gencatan senjata tamat minggu lalu yang menyaksikan pembebasan puluhan tebusan Israel dan lain-lain sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, Israel memperluas serangan di Gaza.

Sepanjang peperangan berlangsung selama 62 hari, penduduk Palestin terputus bekalan makanan dan air yang bersih untuk melangsungkan kehidupan.

Dalam anggaran terbaru dikeluarkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sekitar 1.8 juta orang di Gaza iaitu mewakili kira-kira 75 peratus daripada penduduk telah dipindahkan, kebanyakannya ke tempat perlindungan yang sesak dan tidak bersih. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI