fbpx

Premis sorok, enggan jual minyak masak peket kepada warga tempatan diserbu KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN memeriksa minyak peket yang disorok di sebuah premis di Taman Sejahtera Jaya di Kampar semalam. - Foto IHSAN KPDN

KAMPAR – Tindakan seorang peniaga yang enggan menjual minyak peket 1 kilogram (kg) dan gula kepada warga tempatan mengundang padah apabila premisnya di Taman Sejahtera Jaya di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira pukul 10.15 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil tindakan melalui Ops Samar oleh anggota penguat kuasa KPDN Perak yang melakukan uji beli di premis tersebut.

Beliau berkata, melalui uji beli yang dijalankan mendapati seorang pekerja pasar raya memaklumkan bahawa minyak masak paket 1kg tiada di premis tersebut apabila diminta.

“Curiga dengan kenyataan pekerja tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform telah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pasar mini tersebut dengan dihadiri oleh seorang wanita berumur 48 tahun yang disyaki pemilik premis.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah minyak masak paket 1kg dan gula pasir kasar jenis 1kg yang disembunyikan di dalam premis. Pemilik premis gagal memberikan penjelasan mengapa barang kawalan tersebut tidak dijual apabila diminta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata, sehubungan itu, satu tindakan sitaan telah dilakukan ke atas 90 unit minyak masak paket jenis 1kg, 216 unit gula pasir kasar jenis 1kg, salinan lesen runcit barang kawalan, salinan lesen pendaftaran syarikat (SSM) dan salinan lesen Majlis (PBT) serta dokumen urus niaga yang berkaitan.

Beliau memaklumkan, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM840.60.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 16A(1)(b) iaitu enggan menjual barang kawalan kecuali dengan kebenaran Pengawal atau mana-mana pengawal bekalan yang diberi kuasa oleh Pengawal secara bertulis,” katanya.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

“Bagi Pertubuhan atau Perbadanan, mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI