fbpx

[VIDEO] Makcik Kemboja, anak bayar jamin RM25,000 kes hina Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARIYAH dan anaknya Ezuan Hafsyam diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Usahawan berketurunan Kemboja yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengapikan kaum Melayu.

Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membuat suatu penyataan melalui aplikasi TikTok dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Kesalahan itu telah ditonton kira-kira pukul 6 petang di Bukit Piatu, Kampung Musai dalam daerah Melaka Tengah pada 16 November lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, anak lelakinya, Ezuan Hafsyam Mohd. Hisyam, 22, turut didakwa dan membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Pemuda itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1908 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Mengikut pertuduhan Ezuan didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan satu perempuan iaitu ibunya mengatakan sesuatu yang jelik sifatnya dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan jumlah minimum RM30,000 dikenakan bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu pasport dua beranak itu diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak yang dikhuatiri boleh mengganggu prosiding.

Tertuduh yang diwakili Peguam Kamal Hisham Jaafar bagaimanapun merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan Mariyah merupakan ibu tunggal tiga anak dan pendapatan keluarga itu bergantung sepenuhnya pada perniagaan diusahakan.

Tambahnya, kewangan perniagaan itu bagaimanpun terjejas akibat pandemik Covid-19 dan tertuduh turut menaja keperluan 60 pelajar sebuah pusat tahfiz di Johor.

Ezuan pula merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta yang berpangkalan di United Kingdom dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ibunya itu.

Beliau turut merayu agar pasport kedua-dua tertuduh tidak perlu diserahkan kepada mahkamah dengan alasan wanita terbabit perniagaan wanita itu melibatkan urusan di luar negara, begitu juga pengajian anak lelakinya.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Mohd. Sabri membenarkan Mariyah dijamin sebanyak RM15,000, manakala anaknya RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh 12 Januari sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI