fbpx

KDN luluskan kelengkapan Pasukan Simpanan Persekutuan bernilai RM21.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika Majlis Perasmian Markas PSP dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-68 pagi tadi. - IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan perolehan kelengkapan bagi kegunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang bernilai RM21.5 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara perolehan itu adalah kelengkapan keselamatan anti riot iaitu sebanyak 1000 unit Protective Armour Body (PAB) dan 1,000 unit Gas Mask (RM10 juta).

Katanya, sebanyak 13 laras Sniper Rifle.22 (RM 2.3 juta), 10 buah van tempur (RM 3.6 juta), empat buah Float Bonded Truck untuk kegunaan Unit Berkuda PSP (RM2.2 juta) dan penggantian 175 laras Riot Gun (RM2.8 juta).

“PSP juga bakal disediakan 10 ekor anjing rusuhan berjumlah RM900,000,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Markas Pasukan Simpanan Persekutuan dan Sambutan Hari Ulang Tahun Pasukan Simpanan Persekutuan Ke-68, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Markas PSP, beliau memberitahu markas asal bertempat di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak,Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kem Briged Tengah, Cheras pada tahun 2006.

“Markas baharu ini menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda PSP dan Terup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan dan blok perumahan buat warga PSP.

“Dengan tersergamnya markas ini membuktikan manifestasi pengiktirafan Kerajaan terhadap peri pentingnya peranan PSP dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam sejak sekian lama.

“Kerajaan dan pucuk pimpinan pasukan sentiasa mengambil cakna akan kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar dengan arus pembangunan dan teknologi semasa,”tambahnya.

Menurut Razarudin, peranan pasukan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) ini dipelbagaikan termasuklah bagi tugas risikan untuk membantu pasukan sahabat yang lain membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan seperti sindiket penyeludupan kontraban meliputi petrol dan diesel bersubsidi, barangan keperluan harian di bawah kawalan serta hasil khazanah negara.

“Selain itu, PSP turut terlibat dalam kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Begitu juga dengan Unit Berkuda PSP, yang memberikan khidmat rondaan sepanjang sempadan negara termasuk di persisiran pantai,” ujarnya.

Jelasnya, PSP juga menjalin kerjasama dengan agensi-agensi seperti Perhilitan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan lain-lain.

“Dari Januari hingga Oktober 2023, sejumlah 41 kes melibatkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun dan khazanah negara berjaya dikesan oleh PSP di seluruh negara.

“Ia melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM31.8 juta dengan tangkapan seramai 163 orang.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PSP atas kejayaan yang cukup membanggakan ini. Besarlah harapan saya, agar momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ucapnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI