fbpx

K2

Hukum suami sebut ‘cerai le macam ni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAFAZ talak dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu secara jelas atau kiasan. – Gambar hiasan

Saya berkecil hati dengan suami kerana malam sebelum itu dia sudah janji nak bawa saya pergi sarapan di luar kawasan keesokan pagi, tetapi disebabkan saya tak mahu berjimak dengan dia, dia cakap tak mahu bawa saya pergi sarapan. Saya letih sebenarnya seharian buat kerja, umur pun dah nak masuk 50 tahun, lagipun baru dua, tiga hari lepas jimak, tiada tenaga dah. Pagi itu, sebaliknya dia pergi dengan geng vespa beramai-ramai, saya kirim WhatsApp kepadanya, kenapa tak nak bawa saya? kenapa lebihkan geng vespa? Dia balas dan maklumkan dia akan balik dan suruh saya bersiap. Selang 20 minit suami balik dan ajak saya pergi, saya kata, tak payah la, suami cakap jomlah, saya cakap, pergilah dengan geng vespa awak, suami pun marah, tetapi sementara dia nak keluar bilik, dia cakap ‘cerai le macam ni’ dan terus pergi.

Adakah jatuh talak suami cakap begitu, saya sangat susah hati sekarang.

JAWAPAN: Perkahwinan dalam Islam merupakan salah satu cara untuk memperolehi kebahagian dan ketenangan jiwa di samping memenuhi tuntutan alami sebagai manusia.

Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan buat kamu isteri-isteri yang berasal dari diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang kepada mereka. Dan dia menjadikan di antara kamu perasaan mawadah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu merupakan tanda-tanda (kebesaran) bagi kaum yang sentiasa berfikir.”(Surah al-Rum: 21)

Ikatan yang suci ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai agama dalam setiap diri individu muslim sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sabda Nabi SAW: “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.” (Riwayat al-Baihaqi, al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat)

Namun begitu, sebagai manusia biasa kita tidak dapat menafikan pasang surut dalam setiap perhubungan bak kata pepatah; ‘sedangkan lidah lagi tergigit’. Tiada pasangan yang tidak menghadapi masalah, pastinya masalah akan datang.

Kadangkala apa yang diungkapkan oleh lisan mudah terpengaruh kepada emosi dan sebagai lelaki seharusnya tidak bertindak tanpa berfikir panjang terutama berkaitan lafaz talak, kerana ia dipandang serius dalam agama. Walaupun ia sekadar gurauan namun begitu akan memberi kesan kepada hubungan suami isteri. Nabi SAW telah menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, talak, rujuk semula (selepas talak).”(Riwayat Abu Daud)

Lafaz talak terbahagi kepada dua; sama ada secara jelas atau kiasan.

Lafaz talak nyata atau secara jelas ialah lafaz yang digunakan bagi menunjukkan maksud talak secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Contohnya apabila menggunakan kalimah yang hanya digunakan untuk talak iaitu talak, lepas, pisah dan kata terbitan daripada kalimah ini, seperti “Engkau diceraikan”, “Engkau dilepaskan”, “Aku menceraikanmu,”, “Aku berpisah daripadamu”, “Aku lepaskanmu.”

Lafaz yang nyata atau secara jelas ini juga termasuk terjemahan lafaz talak dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab. Ia berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam kalangan masyarakat tempatan, sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.

Manakala lafaz talak kiasan ialah lafaz yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas, boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq seperti seseorang berkata “Engkau tiada apa-apa lagi denganku.”, “Engkau berasingan daripadaku.”, “Engkau terputus hubungan denganku.”, “Kembalilah kepada keluargamu.”, “Pergilah ke mana engkau mahu.”, “Pergi jauh daripadaku.”, “Asingkanlah diri daripadaku.”, “Aku biarkan kamu dengan caramu.”,“Engkau haram bagiku.”. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, jld. 2, hlmn. 116-118).

Imam al-Syafie dalam al-Umm menyatakan: “Kalimah-kalimah tersebut yang Allah SWT merujuk sebagai talak, seperti yang dinyatakan dalam firman-Nya:Maksudnya: “Apabila kamu hendak menceraikan isteri-isteri (kamu)…”(Surah al-Talak:1)

Dan juga firman-Nya:“Maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik;”(Surah al-Talak:2)

Serta firman-Nya SWT:“Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.”(Surah al-Ahzab: 49)

Imam al-Syafie menyebut lagi: “Kalimah-kalimah berkenaan ialah usul, sedangkan apa yang menyerupainya daripada jenis kalimah yang tidak diistilahkan dengan sebagai talak, dalam Kitab, Sunnah, Athar (tidak jelas) melainkan jika seseorang itu meniatkan talak. Maka jika orang yang melafaz itu berniatkan talak beserta dengan menyebut kalimah yang menyerupai talak, barulah jatuh talak. Jika dia tidak berniat maka tidak jatuh talak.” (Rujuk al-Umm oleh Imam al-Syafie, jld 5, hlmn. 129).

Kesimpulannya, berdasarkan fakta dan huraian di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa tidak terjadi talak apabila menyebutkan “cerai le macam ni”. Hal ini demikian kerana pernyataan ini berbeza dengan lafaz jelas dalam Bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah “cerai” seperti, “Aku ceraikan engkau.” Penggunaan kata “le” menunjukkan bahawa makna yang dikandunginya tidak sama 100% dengan kalimah “ceraikan”. Pernyataan ini mungkin merujuk kepada kelanjutan proses perceraian, termasuk tindakan di mahkamah dan sebagainya. “le” kemungkinan merujuk kepada kata “nak” dan bukan sebagai pengesahan terhadap kata “cerai”.

Meskipun begitu, perkara ini hendaklah dirujuk segera ke Mahkamah Syariah yang berdekatan bagi mendapatkan pengesahan berkaitan lafaz talak yang telah dilafazkan kerana hal ini hanya boleh disahkan oleh hakim syarie yang dilantik.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI