fbpx

40 tempat berteduh motosikal dibina di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (tengah) ketika menyantuni penunggang motosikal di tempat berteduh di KM 11, Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 tempat berteduh motosikal sepanjang lebuh raya berjaya dibina dan disiapkan dalam tempoh lima bulan.

Kejayaan tersebut membuktikan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi komited mempersiapkan kemudahan buat pengguna seperti mana yang telah disasarkan sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dalam memastikan kesejahteraan serta keselamatan rakyat diberi keutamaan.

“Sasaran bagi penyiapan 40 tempat berteduh motosikal di 40 lokasi terpilih tahun ini telah dicapai dalam tempoh lima bulan sahaja dengan komitmen tinggi syarikat-syarikat konsesi yang diterajui oleh LLM.

“Usaha berterusan akan digembleng untuk penyiapan tempat teduhan penunggang motosikal di 79 lokasi lain pada tahun 2024,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau salah satu tempat berteduh motosikal di KM 11, Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), di sini hari ini.

Terdahulu, Alexander berkata, sebanyak 119 tempat berteduh penunggang motosikal akan dibina di lebuh raya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia Madani: Kementerian Kerja Raya, membabitkan 33 syarikat konsesi.

Katanya, ia adalah tambahan daripada 353 tempat berteduh motosikal yang sudah tersedia sebelum ini.

“Bagaimanapun kementerian dan LLM, sentiasa terbuka menerima cadangan daripada syarikat konsesi yang terbabit sekiranya melihat ada keperluan pada masa hadapan untuk penambahan mengikut kesesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander mengingatkan penunggang motosikal untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan lebuh raya terutama melibatkan halangan di lorong kecemasan.

“Penunggang motosikal perlu beri tumpuan dalam setiap perjalanan dan berhenti berteduh atau berehat di lokasi-lokasi tempat berteduh yang telah disediakan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI