fbpx

Malaysia pilih laluan sukar ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Malaysia, Harris Osman dikawal ketat pemain Argentina, Rey Matias (kiri) dan Nobili Guido pada saingan kumpulan A di hari kedua Piala Dunia Hoki Junior Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI/Pemberita; UTUSAN, KOSMO

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk memastikan tempat ke suku akhir lebih awal pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 tidak kesampaian apabila akur tewas 0-4 kepada Argentina di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, Argentina yang turun sebagai juara bertahan nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai sepenuhnya permainan selain melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Young Tigers.

Malaysia juga banyak mensia-siakan peluang menjaringkan gol pada perlawanan tersebut apabila gagal memanfaatkan empat pukulan sudut penalti, sekali gus menyaksikan pasukan negara berputih mata untuk mencatat kemenangan kedua.

Bermain dalam keadaan hujan lebat, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan aksi berhati-hati pada awal permainan dengan Argentina lebih banyak melakukan serangan, namun suku masa pertama itu berkesudahan seri tanpa jaringan.

Memasuki suku masa kedua, Argentina mula menunjukkan kemampuan sebenar apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20 selepas pukulan Bautista Capurro terkena kaki penjaga gol Malaysia, Mohamad Rafaizul Mohamad Saini lalu menerjah gawang.

Lapan minit berselang, pintu gol skuad kendalian Muhamad Amin Rahim itu bocor lagi, kali ini menerusi jaringan Marco Aguirregomezcorta yang memanfaatkan sepenuhnya kesilapan benteng pertahanan Malaysia.

Gol tersebut nyata ‘membunuh’ semangat juang pemain-pemain muda negara yang kemudiannya dilihat buntu untuk mencipta peluang menjaringkan gol, sekali gus menyebabkan pasukan dari Amerika Selatan itu terus bernafsu memburu jaringan.

Pada suku masa ketiga, Argentina yang dibimbing Juan Gilardi memperoleh satu-satunya pukulan sudut penalti pada perlawanan itu dan ia disempurnakan sebaiknya Inaki Minadeo bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Kemudian, Argentina terus menambah derita Malaysia menerusi jaringan keempat yang dijaringkan Juan Fernandez, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan suku akhir selepas mengutip enam mata.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia memilih laluan sukar apabila wajib mencatat kemenangan ke atas Australia pada aksi terakhir Kumpulan A Jumaat ini sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan suku akhir.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung petang tadi, Australia langsung tidak menunjukkan belas kasihan apabila membelasah Chile 7-1 bagi mengutip tiga mata pertama pada edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI