fbpx

Siti Nordiana, lima sekawan bermaafan selesai saman RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail Siti Nordiana dan lima sekawan.

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun melalui prosedur yang panjang, kes saman fitnah RM2.5 juta yang dikemukakan penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima sekawan berakhir secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia berikutan Siti Nordiana atau Nana, 39, selaku plaintif dan lima sekawan itu bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa melalui perbicaraan yang lebih panjang.

Lima sekawan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah berserta terma-terma penyelesaian.

Peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman pula mewakili Razidah, manakala Sam Musyadzahar diwakili peguam Fithril Hakim Ab. Jalil.

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.

“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu.

Dalam perbicaraan sebelum ini, antara saksi-saksi plaintif yang dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman, wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Selain itu turut dipanggil pengarah sebuah syarikat penjenamaan A. Geetharani dan peminat penyanyi itu, Nur Afifah Balqis Mohd. Zulqarnaen.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dua individu yang membuat permohonan itu ialah Sam Musyadzafar dan Razidah.

Kedua-dua pemohon memfailkan permohonan itu pada 16 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Siti Nordiana sebagai responden.

Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI