fbpx

Mohd. Sani seloroh bakal terajui KPDN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sani (kanan) bersalaman selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Perak di MU Hotel, Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sani Hamzan secara berseloroh mengatakan akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Reaksi beliau itu ketika ditanya berkaitan kekosongan jawatan berkenaan selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

“Yang saya dengar nama Hulu Langat kuatlah. Kalau beliau (Perdana Menteri) lantik saya (sebagai Menteri KPDN), saya panjatkan kesyukuran kepada Allah,” ujarnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Perak 2023, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sani yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), parti itu telah pun menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon untuk pertimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi jawatan Menteri KPDN.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada Anwar untuk membuat keputusan kerana pemilihan anggota Kabinet adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Amanah sudah pun menghantar nama untuk jawatan itu, sekarang terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya. Kita pun tidak tahu bila tarikh (lantikan) sebab apabila ditanya kepada Perdana Menteri, beliau maklumkan dalam masa terdekat.

“Kita faham yang Perdana Menteri pasti ada penelitian dan kriteria sendiri untuk melantik seseorang bagi jawatan yang ditinggalkan Allahyarham. Bagi kita, mungkin melihat dengan dua biji mata tetapi sebaliknya beliau melihat dengan 100 biji mata,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI