fbpx

Filem Memoir Seorang Guru tampil pelakon hebat Rosyam Nor, Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri Johan, Wan Munadi, Rosyam, Arisz, Ellie Suriaty serta Trisha Oii pada majlis menandatangani Perjanjian Bersama Mou antara YGMB dan KAHSB di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Syarikat produksi Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menerbitkan filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah.

Filem arahan Kyoll Hamzah ini menampilkan beberapa pelakon hebat antaranya Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi.

Pengarah Urusan KAHSB, Datuk Arisz Ab. Rahman berkata, pihaknya berminat menghasilkan filem yang dianggap ringan ini, tetapi mempunyai mesej besar kepada masyarakat.

“Semua penonton, dari golongan muda hingga tua pernah jadi pelajar. Filem ini memberi mesej tentang pendidikan di Malaysia. Ia sesuai ditonton semua golongan masyarakat khususnya yang pernah bergelar pelajar iaitu kita semua.

“Saya terdetik untuk menerbitkan filem berdasarkan adaptasi novel kerana bila saya terbaca banyak komen di media sosial khususnya Google, mereka yang ‘review’ novel ini ramai minta agar dijadikan sebuah filem,” katanya.

Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama (MoU) di antara KAHSB dan YGMB berlangsung di sebuah hotel di Kampung Baru serta dihadiri oleh barisan pelakon filem ini.

Dalam pada itu Arizs berkata, beliau yakin penonton akan mengenang jasa guru selepas menonton filem tersebut.

“Saya yakin bila penonton keluar pawagam, mereka akan fikirkan betapa besarnya jasa guru dan kita yang pernah bergelar anak murid, perlu menghargai jasa-jasa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya yang berperanan membantu memartabatkan profesion keguruan negara mengucapkan tahniah kepada KAHSB atas inisiatif menghasilkan filem bergenre yang lain daripada kebiasaan filem pecah panggung.

“YGMB melihat penerbitan filem ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif daripada pembikin filem dan kami akan menyokong usaha ini kerana menjadi peranan dan tanggungjawab YGMB membantu usaha-usaha yang mengangkat martabat profesion keguruan negara.

“YGMB berpendapat bahawa filem ini amat sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat bagi melahirkan penghormatan dan penghargaan atas jasa serta pengorbanan insan yang bergelar guru.

“Setiap kita tidak akan terlepas daripada hasil didikan seorang guru. Oleh itu, perancangan pihak penerbit untuk menayangkan filem ini ketika sambutan Hari Guru, amat bertepatan,” ujarnya.

Katanya, beliau percaya masyarakat khususnya ibu bapa, pelajar termasuk guru-guru itu sendiri tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI