fbpx
ERNIE ZAKRI mengakui dirinya bukan wanita kuat untuk berdepan dugaan masalah rumah tangga seperti yang dilalui beberapa pasangan popular sebelum ini.

Ernie Zakri tak kuat jika suami ‘disondol’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI berjangkit, isu dimadukan mahupun rumah tangga berantakan dek kerana disondol pencinta suami orang bagaikan virus yang menular dalam rumah tangga selebriti tanah air serta pempengaruh media sosial.

Rentetan itu, bermulalah episod berkecamuknya hati ramai wanita yang meluahkan rasa amarah berikutan terbawa-bawa emosi penangan sikap segelintir lelaki yang tidak pernah rasa cukup.

Perkara sama turut mengganggu fikiran penyanyi popular, Ernie Zakri yang kini hidup bahagia di samping suami tercinta, Syamel. Jauh di sudut hati, terbit rasa bimbang andai rumah tangganya diganggu wanita lain.

Tidak kuat jika suami disondol

Malah, pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri itu juga mengakui dirinya bukan wanita kuat untuk menghadapi dugaan keberantakan rumah tangga seperti yang dilalui beberapa pasangan popular sebelum ini.

“Sebagai wanita pastinya isu penyondol ini akan memberi kesan kepada emosi, saya tabik kepada kaum hawa di luar sana yang mampu menghadapi dugaan sebegitu.

“Kalau perkara tersebut berlaku kepada saya, memang saya tidak mampu, ya Allah minta jauhkan hal sebegini terjadi kepada saya.

ERNIE menghormati semangat para isteri yang mampu bertahan meski rumah tangga diuji dengan kehadiran wanita lain.

“Saya dan suami banyak bermuhasabah diri dan kesan apa sebenarnya kurang dalam perhubungan.

“Daripada situ kita tahu bahagian mana yang boleh diubah untuk mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan,” katanya.

Ditanya pernahkah mengingatkan suami yang dinikahi sejak Mac 2021 mengenai perkara itu, ibu kepada seorang anak itu mengakui mereka ada berbicara dan saling menasihati antara satu sama lain.

“Sebagai isteri, setiap hari saya bagi amaran manja dan menasihati suami supaya dia sedar dirinya milik orang.

“Namun, pokok pangkalnya adalah kepercayaan dalam perhubungan, sekali kita dikhianati selama-lamanya akan muncul rasa gusar.

“Alhamdulillah, saya dan Syamel sudah tiga tahun menempuh alam perkahwinan, banyak yang kami harus belajar. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja, bukan setiap hari okey tapi Allah kurniakan kami kebahagiaan dan ketenangan,” ujar Ernie.

Memilih untuk enggan berlama-lama larut dalam topik penyondol mahupun isu poligami, pelantun lagu Satu Cinta itu sempat berkongsi mengenai album terbaharunya berjudul Aura yang menampilkan kelainan cara nyanyian dan pembawaan karakter vokalnya.

Aura tonjol sisi lain

Kendati ramai berpendapat sepuluh lagu dalam album tersebut kurang menguji vokalnya dan kedengaran sedikit ‘tone down’, penyanyi berusia 31 tahun itu menegaskan Aura lebih kepada mesej dan penceritaan setiap karya.

“Album kali ini saya tampilkan sebuah jalan cerita dan konsep, sisi lain seorang Ernie Zakri. Jika saya hadir sama seperti karya sebelum ini, perjalanan karier saya ibarat tiada warna dan kelainan.

“Ramai yang kata saya sedikit ‘tone down’ tetapi sebenarnya album ini lebih kepada mesej dan penceritaan, semuanya harus selari dari lagu pertama sehingga ke akhir.

“Jujurnya, kesemua lagu saya dalam album itu sangat sukar untuk dinyanyikan kerana liang-liuk vokal berbeza dengan teknik yang saya gunakan sebelum ini. Dengar macam senang tetapi banyak notasi kompleks yang perlu dicapai supaya kedengaran sempurna,” tegas Ernie.

ENGGAN menabur janji manis kepada peminat, namun Ernie mengakui ada perancangan mengadakan konsert solo pada tahun hadapan.

Ditanya bilakah akan mengadakan konsert solo selepas lagu mencukupi seperti rakan seperjuangannya yang lain, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) berkenaan tidak mahu menabur janji manis, namun mempunyai perancangan ke arah itu.

“Sememangnya menjadi impian seorang penyanyi untuk mengadakan konsert. Dalam perancangan tahun 2024 akan ada konsert solo tetapi saya tidak mahu janjikan bulan bintang, kita tengok dulu keadaan.

“Sebenarnya perancangan konsert solo ini sudah dua tahun kami bincangkan, cuma masa dan keadaan selalu tidak mengizinkan tetapi saya percaya kepada rezeki Allah kerana perancangan-Nya lebih hebat.

“Sebelum ini lagu saya tidak berapa cukup, mungkin lepas saya dah ada album kedua ini, perjalanannya lebih cantik dan lebih bersedia. Insya-Allah, doakan yang terbaik, moga impian ini jadi kenyataan,” katanya.

Jadi perbandingan

Bagai hidup di bawah pemantauan netizen, anak jati Kuala Lumpur itu tidak dapat lari daripada kecaman dan menjadi bahan perbandingan dengan penyanyi wanita lain termasuk Aina Abdul.

Mengakui sedikit sebanyak terkesan, lulusan Ijazah Sarjana Muzik itu memilih untuk bersyukur kerana masih mendapat perhatian netizen yang sentiasa mengambil tahu tentang dirinya.

“Tipulah kalau tidak terkesan, apa sahaja saya buat mesti dibandingkan dengan penyanyi lain, mungkin dalam keadaan ini saya harus bersyukur kerana orang masih beri perhatian. Lagi sedih dan takut apabila tiada orang bercakap tentang Ernie Zakri.

“Tapi, saya tidak menggalakkan sikap toksik dan perbalahan dalam kalangan peminat fanatik. Tak mengapa kalau mahu pertahankan penyanyi pujaan mereka tetapi jangan sampai jatuhkan artis lain.

“Perlu jadi peminat yang bijak, namun pada masa sama saya tidak boleh menghentikan orang berkata-kata, mereka ada pendapat masing-masing,” ujarnya serius.

Paling utama kata Ernie, selagi netizen tidak mengganggu keluarga dan periuk nasinya, dia akan menganggap perkara tersebut seperti angin lalu, namun tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya berlaku fitnah melampau.

“Saya banyak dapat mesej langsung (DM) fitnah berkaitan saya dan suami. Kadang-kadang perkara tersebut sedikit sebanyak boleh mengganggu keharmonian hubungan saya dan suami serta artis lain juga.

“Setakat ini kesabaran saya masih tebal, saya memilih untuk abaikan sahaja perkara itu asalkan tidak melebih-lebih hingga mengganggu rezeki, rumah tangga dan keluarga saya. Kalau melampau mungkin saya akan ambil tindakan susulan.

“Mujur fitnah itu tidak dibesar-besarkan. Pada saya, mungkin mereka yang sentiasa mencari salah orang lain banyak sangat masa terluang dan itu sahaja kerja mereka seharian,” sinis Ernie menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN