fbpx

‘Kuasa’ di tangan 141,790 pengundi Kemaman hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
persoalan sama ada Pas berjaya mengekalkan status quo di Parlimen Kemaman atau BN menang akan terjawab hari ini.

KEMAMAN – Seramai 141,790 pengundi yang layak bakal ­menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman hari ini.

Sebelum ini, sebahagian daripada mereka iaitu 387 anggota polis dan enam anggota tentera telah melaksanakan undi pos pada 22 dan 23 November lalu.

Tiga pasangan tentera pula menunaikan tanggungjawab secara pengundian awal pada Selasa lalu.

Hakikatnya PRK Kemaman diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan penyandangnya, Che Alias Hamid daripada Pas pada 26 September lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Anselm Charles Fernandis mendapati wujud unsur ­rasuah dalam kempen Pas di kawasan Parlimen terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).

Pas mempertaruhkan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Calon BN pula bukan calang-calang iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi yang ­merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera ke-19.

Kempen bermula 18 November lalu berjalan secara harmoni dan agak ‘sejuk’ kebanyakannya disumbang oleh cuaca hujan melanda Kemaman sepanjang 14 hari kempen berlangsung.

Tiada isu panas kedengaran dengan pihak polis hanya ­menerima tujuh laporan berhubung dakwaan salah laku dan kekecohan sepanjang tempoh tersebut.

Cuaca hari ini di Kemaman diramalkan hujan, namun setakat ini, daerah itu dijangka tidak akan terjejas lagi dengan bencana banjir.

Indikator terbabit pasti boleh mempengaruhi peratusan keluar mengundi walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus bakal berbuat demikian.

Apapun, seluruh negara ­pastinya memberi tumpuan sama ada pengundi terbabit akan mengekalkan status quo memilih Pas atau beralih arah menukar sokongan kepada BN.

BN memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

Pas yang menganggotai Perikatan Nasional (PN) pula mahu mengekalkan impak gelombang hijau terutama di kubu kuatnya di Terengganu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI