fbpx

KPKT laksanakan proses pemutihan tapak perkhemahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nga Kor Ming (dua dari kanan) melihat demonstrasi memadam api pada Majlis Perasmian Bomba Komuniti PR1MA di Residensi Meru Ipoh hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan proses pemutihan tapak perkhemahan di seluruh negara bermula hari ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, proses pemutihan itu bagi memastikan semua pengusaha tapak perkhemahan mematuhi syarat pengoperasian seperti mana yang digariskan dalam Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan.

“Kita buat garis panduan ini bukan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya untuk membantu mereka yang berusaha.

“Melalui maklum balas pengusaha tapak perkhemahan, mereka maklumkan tidak tahu berkaitan garis panduan mana untuk dipatuhi, jadi dengan GPP Tapak Perkhemahan yang dilancarkan hari ini, mereka boleh guna pakai garis panduan berkenaan.

“Kita beri tempoh dua tahun untuk proses pemutihan bagi membolehkan pengusaha menyediakan tapak perkhemahan yang selamat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurkan Pelancaran GPP Tapak Perkhemahan di Taman Dr Seenivasagam di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, penyediaan GPP itu dimulakan susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember tahun lalu yang mengorbankan 31 nyawa.

Katanya, PLANMalaysia mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan GPP itu dengan melalui pelbagai sesi libat urus dan perkongsian input kepakaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan selain 150 pengusaha tapak perkhemahan.

“Mulai tahun hadapan, semua tapak perkhemahan perlu mematuhi enam prinsip yang digariskan GPP iaitu keselamatan, keselesaan, kemampanan, kesinambungan sosial, kemakmuran ekonomi dan kepatuhan perundangan.

“Enam prinsip ini amat penting untuk diguna pakai bagi memberi keselesaan kepada pengunjung selain memberi jaminan keselamatan kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan memperkemaskan beberapa perkara yang dibangkitkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika garis panduan tersebut dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri lalu.

“Masalah teknikal ini bukanlah isu besar antaranya melibatkan penggredan premis penginapan pelancongan sama ada empat bintang atau lima bintang dan skop kerja lain.

“Input positif ini baik apabila pelancong dan pengunjung boleh pilih lokasi perkhemahan mengikut bajet. Jadi perkara ini dapat diselesaikan dalam rangka perundangan sedia ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI