fbpx

22 barang di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan ketika mengadakan lawatan di salah sebuah pasar raya hari ini. Foto Ihsan KPDN.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri 2024 berkuat kuasa 5 hingga 19 April ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali melalui satu kenyataan berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP selama 15 hari itu membabitkan 22 jenis barangan yang akan berada di bawah skim berkenaan.

“Skim ini membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2024 adalah selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan sembilan hari selepas perayaan.

“Sebanyak 22 jenis barangan diwartakan bagi pelaksanaan skim ini dan ia adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

Armizan berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan harga barangan terkawal serta bekalan mencukupi.

Katanya, semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi strategik seperti di pasar malam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). Ia termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI