fbpx

Konflik Palestin-Israel: Blinken tidak mahu perang berlanjutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Palestin berjalan kaki menuju ke tempat lebih selamat selepas Israel menyambung semula serangan udara ke atas bandar Rafah di Semenanjung Gaza semalam. – AFP

WASHINGTON – Israel tidak mendapat ‘kredit’ untuk mengekalkan perang menentang Hamas selama berbulan-bulan dan perlu mengubah taktiknya di selatan Gaza, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken pada mesyuarat Kabinet perang kelmarin, demikian menurut saluran televisyen Channel 12, seperti laporan laman berita RT.

Blinken berada di Baitulmuqaddis untuk menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Kabinet yang menguruskan perang menentang kumpulan Hamas di Gaza.

Beberapa petikan mesyuarat itu yang diperoleh Channel 12 di­siarkan kelmarin. Tidak dinyatakan bagaimana ia jatuh ke tangan saluran televisyen komersial pa­ling popular di Israel tersebut.

“Anda (tentera Israel) tidak bo­leh beroperasi di selatan Gaza seperti yang anda lakukan di u­tara. Terdapat dua juta rakyat Palestin di sana,” kata Blinken pada satu ketika, demikian menurut terjemahan daripada bahasa Ibrani yang disiarkan akhbar Times of Israel

“Anda perlu memindahkan bilangan penduduk yang lebih kecil dari rumah mereka, lebih tepat dalam melancarkan serangan, tidak menyerang fasiliti PBB dan memastikan terdapat kawasan berlindung yang mencukupi.

“Sekiranya semua ini tidak dapat dilakukan, jangan menyerang di mana terdapat penduduk awam,” tambahnya.

Apabila Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berkata bahawa seluruh masyarakat Israel bersatu di sebalik objektif untuk menghapuskan Hamas, walaupun ia mengambil masa berbulan-bulan, Blinken menjawab: “Saya tidak fikir anda mendapat kredit (kepercayaan) untuk itu.”

Petikan yang bocor itu juga men­dedahkan bahawa Israel ti­dak mahu Pihak Berkuasa Pales­tin (PA) memerintah Semenan­jung Gaza selepas perang berakhir.

Ini kerana Netanyahu me­nuduh PA sebagai ‘menyokong, mendidik, dan membiayai keganasan’.

Blinken pula berkata, AS memahami perkara itu tetapi negara-negara lain di rantau Asia Barat perlu tahu apa yang Israel rancangkan.

“Cara terbaik untuk membunuh sesuatu idea adalah dengan mengetengahkan idea yang lebih baik,” katanya.

Washington menyokong serangan Israel ke atas Gaza selepas serbuan pada 7 Oktober lalu oleh Hamas yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,200 orang.

Bagaimanapun, sejak itu, kerajaan AS berdepan kritikan orang ramai terhadap kematian kira-kira 16,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dengan kebanyakan mangsa ialah wanita dan kanak-kanak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara, Blinken ‘menegaskan semula sokongan AS terhadap hak Israel untuk melindungi dirinya daripada keganasan dengan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menggesa Israel mengambil semua langkah untuk mengelakkan bahaya
kepada orang awam.’

Blinken juga menggesa supaya ‘tindakan segera dikenakan terhadap peneroka Yahudi yang bertanggungjawab melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.’

Menurut jurucakap Jabatan Negara, Matthew Hill, Blinken berkata bahawa AS tetap komited kepada langkah-langkah untuk mewujudkan sebuah negara Pa­lestin yang hidup dalam situasi aman, bebas dan selamat bersama Israel. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI