fbpx

Tak jadi hero? Tiada masalah – Anas Ridzuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIADA istilah terasa hati dala kamus kerjaya Anas apabila kerap ditawar watak pembantu berbanding sebagai hero.

KUALA LUMPUR – Memahami kehendak penerbit mahu menjual filem, pelakon Anas Ridzuan mengakui tidak terasa hati apabila hanya ditawarkan watak pembantu dalam drama atau filem.

Pemegang Ijazah Filem, Teater dan Animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia tetap bersyukur tidak putus diajukan tawaran yang membolehkannya terus berkarya dan mencari rezeki.

“Kena faham, untuk menjual produk kita perlukan orang yang ada rupa, itu realiti tetapi pada masa sama saya tak boleh kerja di stesen minyak walaupun muka macam ini sebab saya belajar berlakon.

“Bukanlah bermakna saya pandang rendah pekerjaan itu, cuma takkan saya nak gunakan ilmu dipelajari bertahun-tahun di universiti untuk bidang lain semata-mata tak dipanggil jadi hero.

“Sejak 12 tahun lalu lakonan adalah pekerjaan saya. Saya dibayar untuk berlakon dan industri ini adalah tempat kerja saya, jadi saya tak fikir pasal glamor asalkan ada produksi panggil dan orang tonton.

“Biarlah yang popular sahaja ke depan. Saya tidak ada masalah kalau tidak glamor pun, janji masih dibagi kepercayaan selain dapat cari rezeki untuk anak isteri,” katanya selepas tayangan gala filem Syif Malam, baru-baru ini.

Begitupun, menerusi filem genre komedi seram Syif Malam, aktor yang juga anak didik kepada penyanyi Faizal Tahir dalam Mentor musim enam itu diangkat sebagai teraju utama bersama Shah Kimin dan Taqim Zaki.

Dedah Anas, bekerja dengan pengarah serta pelakon yang dikenali secara peribadi menyuntik keserasian di dalam set sekali gus membuatkan sepanjang dua minggu penggambaran semuanya berjalan lancar.

“Saya kenal pengarah filem ini, Fairus Anuar dah lama, lagipun kami berjiran, jadi apabila dia ajukan tawaran bersama idea serta plot cerita yang pernah dia buat di YouTube buatkan saya turut teruja.

“Tak sangka pula yang saya dapat bergabung semula dengan Shah dan Taqim yang juga kawan di UiTM dan Aswara. Kiranya keserasian membuatkan setiap babak lebih hidup,” katanya.

Syif Malam mengisahkan tiga sahabat, Ikmal lakonan (Taqim), Botak (Shah) dan Mok (Anas) yang bekerja sebagai pereka grafik di sebuah pejabat diganggu kejadian misteri.

Filem terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 7 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI