fbpx

SRC RM27 juta: Najib mohon lepas tanpa bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon agar dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya membuat permohonan tersebut selepas pihak pendakwaan memberitahu pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas terhadap representasi yang dihantar pada 31 Julai lalu.

“Kes ini telah tertangguh selama lima tahun setengah dan pengurusan kes telah dijalankan beberapa kali. Untuk tidak memprejudiskan mana-mana pihak terutamanya anak guam saya, saya mencadangkan agar mahkamah mengeluarkan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan.

“Sekiranya (pihak pendakwaan) mempunyai keputusan berbeza atau mempunyai perkembangan lain, kes boleh dikemukakan semula. Pada masa itu, mahkamah boleh memutuskan sama ada untuk meneruskan kes di peringkat ia terhenti atau sebaliknya,” kata Muhammad Shafee.

Mendengar makluman itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin menjelaskan bahawa kes ini telah ditangguhkan atas persetujuan bersama kedua-dua pihak bagi membolehkan pembelaan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Katanya, kes disebut di Mahkamah Tinggi pada April 2019 dan pada ketika itu kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan kes sehinga perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) selesai sepenuhnya.

“Perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) telah berakhir pada Ogos 2022 dan semakan tamat pada Mac 2023. Representasi dihantar pada 31 Julai lalu dan diterima pada 2 Ogos lalu. Dalam tempoh itu sehingga hari ini, kes ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes sebanyak tiga kali termasuk hari ini,” kata pendakwa raya itu.

Justeru, Mohd. Ashrof memohon agar pihaknya diberikan tarikh akhir pengurusan kes tersebut bagi membolehkan beliau mendapatkan jawapan representasi.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Hakim K. Muniandy mengenai kelewatan Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu, Mohd. Ashrof memberitahu kerana kes itu membabitkan individu berprofil tinggi.

“Kes turut membabitkan dokumen yang banyak dan pertimbangan juga perlu mengambil kira kes-kes (Najib) yang masih berjalan,”ujar Mohd. Ashrof.

Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua belah pihak, Hakim Muniandy kemudian menetapkan 19 Januari tahun sebagai tarikh akhir untuk Peguam Negara membuat keputusan berhubung representasi itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI