fbpx

Polis tahan ustaz keluar kenyataan ugut PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fisol (tengah) menunjukkan tangkap layar berbaur ugutan dipercayai dikeluarkan oleh seorang ustaz dalam sidang akhbar di IPD Kubang Pasu di Jitra, hari ini.

JITRA – Polis menahan seorang ustaz berusia 43 tahun dipercayai mengeluarkan hantaran berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, guru sebuah sekolah agama di Kulim itu ditahan di rumahnya pada pukul 10 malam tadi setelah polis menerima lima laporan polis di seluruh negeri ini.

“Pada peringkat awal (hantaran ugutan) hanya dimainkan dalam grup WhatsApp selepas itu dimuat naik ke laman Facebook dan ia tular. Laporan dibuat oleh orang awam di Kedah, kita ada lima laporan setakat ini.

“Kita ambil tindakan daripada laporan pertama yang kita terima semalam pada pukul 5.33 petang di Balai Polis Kampung Tanjung IPD Padang Terap menunjukkan tangkap layar mengatakan ugutan kepada Perdana Menteri. Daripada ini kita buat tangkapan ke atas suspek bersama telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Tambah beliau, selain itu polis turut menerima laporan sama daripada orang awam di Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim.

“Pengadu merasakan kenyataan tersebut suatu ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri dan berbaur politik. Suspek  ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kulim dan BSJD IPD Padang Terap di Kulim,” jelasnya.

Kata Fisol, polis memohon perintah tahanan reman terhadap suspek selama empat hari  dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKMM) yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI