fbpx

Konflik Myanmar: 121 warga Malaysia selamat tiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad berbual bersama rakyat Malaysia yang terkandas dalam konflik perang saudara di Laukkaing, Myanmar ketika tiba di KLIA, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

SEPANG – Hanya seramai 121 warga Malaysia yang terkandas dalam konflik perang saudara di Myanmar berjaya tiba di tanah air menerusi pesawat sewa khas awal pagi tadi.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, selebihnya tujuh orang lagi tidak berbuat demikian atas pelbagai sebab termasuk dua orang lagi masing-masing memiliki rekod jenayah di China dan dikesan berada jauh lebih 1,000 kilometer dari lokasi sempadan Myanmar.

“Dua orang terpaksa tarik diri dan mohon dikecualikan manakala tiga orang gagal tiba di sempadan negara itu dengan China pada waktu akhir yang ditetapkan semalam,” katanya.

Terdahulu, beliau menyambut kepulangan kesemua mereka yang menjadi mangsa bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian di Laukkaing.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kementerian Luar mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Myanmar dalam misi evakuasi berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon ada hantar 10 nota diplomatik kepada pihak junta bagi usaha bawa keluar rakyat kita dan kali ini mereka memberikan bantuan penuh,” katanya.

Pada masa sama, ujar beliau, Konsulat Malaysia di Kunming, China yang terletak tidak jauh dari Laukkaing, juga mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa negara tersebut serta memudahkan urusan evakuasi kerana kesemua mangsa terlibat tiada dokumen perjalanan yang sah dan sudah bekerja di Myanmar kira-kira setahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 107 orang adalah lelaki dan baki 14 orang pula wanita dengan paling ramai berasal daripada Sarawak iaitu 54 orang diikuti Perak iaitu 22 orang.

Selebihnya 10 orang mangsa itu berasal daripada Kuala Lumpur, disusuli Pulau Pinang (lapan), Pahang (tujuh), Johor (tujuh), Negeri Sembilan (empat) dan Selangor (empat), Terengganu (dua) serta masing-masing seorang daripada Kedah, Kelantan dan Melaka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI