fbpx

Terap mesej solidariti kekang kandungan radikal konflik Palestin-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi Fadzil

PETALING JAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengambil serius mengenai isu penyalahgunaan di platform media sosial, khususnya kandungan radikal dan ekstremisme berkenaan konflik Palestin-Israel.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dalam menangani dan mengekang kandungan berunsur kebencian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak penyedia platform media sosial antarabangsa.

Menurutnya, langkah tersebut dijalankan bagi memastikan kandungan berunsur radikal dan ekstremisme yang membabitkan isu konflik Palestin-Israel ini dapat diatasi dengan lebih baik.

“Dari 1 Oktober 2023 sehingga 15 November 2023, sebanyak 147 kandungan berunsur kebencian atau ‘hate speech’ berkaitan konflik tersebut telah disusuli tindakan penurunan dengan kerjasama penyedia platform media sosial.

“Langkah ini akan diteruskan bagi memelihara keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Tambahnya, usaha-usaha penerapan nilai-nilai keamanan di seluruh negara juga giat dilaksanakan melalui media massa berpandukan kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan selaras dengan Akta 588.

“Sebagai agen penyampai maklumat rasmi, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sentiasa menyalurkan berita yang seimbang dan berobjektif bagi membantu menghindari penyebaran pandangan ekstrem, selari dengan hala tuju dan dasar semasa Kerajaan tanpa menjejaskan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara.

“Dalam isu pencabulan hak asasi kemanusiaan dan penindasan terhadap Palestin, inisiatif solidariti sentiasa ditunjukkan sebagai sokongan terhadap Palestin dalam mempertahankan kedaulatan tanah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI