fbpx

Runtuhan gudang: Kerja alihkan tiang rasuk seberat 14 tan selesai 80 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama timbunan besi telahpun dikeluarkan dari kawasan runtuhan di tapak pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, setakat pukul 2 petang tadi.

BALIK PULAU – Kerja-kerja pengalihan tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter yang runtuh di tapak pembinaan sebuah gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas di sini telah selesai 80 peratus.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat empat lagi mangsa yang tertimbus akan dijalankan dalam tempoh terdekat selepas kesemua tiang rasuk itu berjaya dialihkan.

”Kerja kerja mencari dan menyelamat diteruskan dari semalam bermula 10.30 malam dan sehingga kini tanpa henti oleh pihak bomba.

”Proses mengalihkan tiang rasuk yang runtuh telah 80 peratus selesai dan usaha mencari serta menyelamat mangsa dapat dijalankan dalam tempoh terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Sembilan buruh binaan warga Bangladesh ditimpa tiang rasuk seberat 14 tan dan sepanjang 12 meter dalam kejadian runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.58 malam tadi itu, tiga disahkan maut iaitu masing-masing dua di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir A Rajendran dan lain-lain meninjau tapak pembinaan gudang yang runtuh semalam.

Menurutnya, soal keselamatan merupakan antara perkara yang dititik beratkan sepanjang operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.

“Soal keselamatan kita utamakan memandangkan keadaan amat berbahaya di situ, kita tidak boleh kompromi dengan keselamatan,” katanya.

Tambahnya, identiti mangsa-mangsa yang terlibat telah dapat dikenal pasti dan mereka berusia antara 22 hingga 46 tahun.

”Identiti mangsa terlibat akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI