fbpx

Cuepacs tolak cadangan pantau guru tak sokong kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak sebarang cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam.

Presidennya, Datuk Adnan Mat turut menyifatkan perkara tersebut hanya merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.

Katanya, Cuepacs juga menegaskan bahawa penjawat awam kekal profesional dalam menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

“Sudah pasti setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, namun Cuepacs memberi jaminan mereka sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.

“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Adnan berkata, dalam konteks demokrasi penjawat awam itu berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuklah ketika membuang undi pada pilihan raya.

“Tiada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa daripada mana-mana kementerian bagi meninjau kecenderungan politik penjawat awam.

“Cuepacs ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian,” jelasnya.

Katanya mana-mana pihak yang menjadi kerajaan sewajarnya fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam.

“Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik yang berbeza.

“Daripada sudut penjawat awam sememangnya kita harus mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah, cuma sebagai individu penjawat awam juga ada pilihan apabila tiba masanya untuk memilih,” tegasnya.

Katanya langkah yang dicadangkan itu juga sebenarnya hanya merugikan negara kerana lebih banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan selain daripada memantau kecenderungan politik penjawat awam.

“Apatah lagi penubuhan jawatankuasa tersebut menggunakan sumber sedia ada kerajaan dan perkhidmatan awam.

“Usaha ini sepatutnya ditumpukan sahaja bagi perkara yang benar-benar penting seperti meningkatkan kos taraf hidup rakyat atau apa sahaja perkara yang memberikan kebaikan kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan juga menegur semua ahli politik supaya tidak melibatkan perkhidmatan awam serta warganya dalam kepentingan politik masing-masing.

Terdahulu, PKR Johor pada kongres nasional parti itu mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) membentuk jawatankuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.

Cadangan itu disampaikan oleh perwakilan dari Johor, Haryati Abu Nasir yang mendakwa terdapat trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI