fbpx

147 kelab, persatuan di Selangor terima geran padanan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azura (berdiri, empat kanan) diiringi oleh Penasihat Persatuan Karate Do Goju Kai Selangor, Datuk Seri Dr. KK Chai (tengah) di Kejohanan Karate Terbuka KK Goju-Kai Selangor ke-12 2023. -Foto AMIR KHALID

SERDANG – Jabatan Belia dan Sukan Selangor telah meluluskan geran padanan sukan komuniti kepada 147 kelab dan persatuan untuk tahun ini.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Azura Sarbin berkata, dana tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM400,000 yang telah disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk tahun ini.

Jelasnya, secara keseluruhan pihaknya menerima lebih 200 permohonan daripada kelab dan persatuan yang aktif melaksanakan sukan di pelbagai peringkat di negeri ini.

“Bagi tahun ini peruntukan sudah ditutup pada 31 Ogos lalu dan semua yang layak untuk geran padanan ini telah kita salurkan dana tersebut. Saya dimaklumkan dana ini akan lagi pada tahun hadapan.

“Kami amat mengalu-alukan semua kelab tidak kira kecil atau besar untuk memohon dana tersebut. Sebab ia terbuka kepada mereka yang membangunkan peringkat akar umbi terutamanya melibatkan sukan yang mempunyai ranking.

“Permohonan untuk tahun hadapan akan kita kemaskini menerusi laman web jabatan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Karate Terbuka KK Goju Kai Selangor ke-12 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. KK Chai.

Mengulas lanjut, Azura berkata, selain geran daripada kerajaan, pihaknya juga mahu pihak swasta atau korporat sama-sama berganding bahu dalam memajukan industri sukan di negeri ini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan strategik KK Mart kerana ini adalah salah salah usaha yang baik dan kerajaan amat mengalu-alukan usahasama ini.

“Sekurang-kurangnya inisiatif ini dapat memupuk minat bersukan dalam kalangan rakyat di negeri ini,”jelasnya

Sementara itu, Chai yang juga Penasihat Persatuan Karate Do Goju Kai Selangor berkata, pada edisi kali ini pihaknya menerima lebih 500 penyertaan.

Katanya, ia melibatkan peserta daripada sembilan buah negeri termasuk Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Bagi menyokong industri sukan mempertahankan diri ini, KK Mart telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk publisiti dan hebahan dalam menjayakan sukan ini termasuk di dalam dan luar negara.

“Menerusi publisiti yang telah diadakan KK Mart ini kita lihat penganjuran kejohanan seperti ini sentiasa dinanti-nantikan oleh peserta, persatuan dan ibu bapa,”katanya.

Malah kata beliau, banyak kejayaan telah dirangkul persatuan sejak ia ditubuhkan termasuk 12 emas dalam 3rd Speed Power Shotokan Data Sukan International School Open Championship 2023.

Tambahnya, persatuan ini juga telah menggondol 14 emas dalam 1st Shotokan Hayaidesu Karate Championship 2023.-KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI