fbpx

Empat beradik ditinggalkan tanpa jagaan selepas dihalau nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT beradik yang ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, baru-baru ini.

PARIT – Entah apa puncanya, seorang nenek tergamak menghalau empat cucu yang berusia 11 tahun hingga 10 bulan keluar dari rumah di Bota, semalam.

Keempat-empat beradik itu ditinggalkan di hadapan sebuah kompleks kerajaan oleh seorang wanita sekitar pukul 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada 5.39 petang semalam, menerusi laporan polis yang dibuat oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah.

Katanya, pengadu memberitahu, kehadiran empat beradik itu disedari pengawal keselamatan setelah mereka ditinggalkan seorang wanita yang memandu kereta jenis Toyota di hadapan pondok pengawal.

“Hasil pertanyaan terhadap kanak-kanak berusia 11 tahun itu, dia menyatakan bahawa mereka dihalau dari rumah oleh nenek sebelum dihantar ke kompleks berkenaan dengan menaiki kereta oleh wanita tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pengadu kemudiannya menghantar empat beradik itu ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak di Gopeng untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ibu bapa atau waris kanak-kanak berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin memberitahu, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan pihak polis dengan kesemua kanak-kanak itu kini berada di hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI