fbpx

SJK: Bahasa Mandarin, Tamil dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Mohamed Haniff (tengah) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/Kosmo!

PUTRAJAYA – Panel Hakim Mahkamah Rayuan di sini berpendapatan Sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil boleh terus beroperasi secara sah di sisi undang-undang kerana ia dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Ini kerana kewujudan dua SJK selain bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar adalah dilindungi mengikut peruntukan Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan ketika membacakan penghakiman ringkas, berkata panel Perkara 152(1)(b) menyatakan, tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

“Apabila dipastikan sesuatu bahasa sudah digunakan sebaik sebelum merdeka, tiada apa pun dalam peruntukan itu harus dibaca sebagai mengehadkan hak kerajaan untuk memelihara penggunaannya dan mengambil langkah untuk mengekalkannya (secara berterusan),” katanya.

Beliau berkata, jika diterima bahawa penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sudah wujud sebelum merdeka, maka kerajaan, melalui proviso (b), mempunyai hak untuk memelihara dan mengekalkan penggunaannya.

Katanya, hak itu mengatasi larangan dalam proviso (a) dengan syarat hanya bahasa Melayu menjadi bahasa yang digunakan untuk tujuan rasmi, berdasarkan perkataan pembukaan dalam proviso (b).

“Ia tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal perlembagaan berhasrat supaya sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar, menyalahi undang-undang dan bertentangan syarat perlembagaan,” kata hakim itu.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili dua perayu ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini selepas dibenarkan mahkamah.

Terdahulu, panel tiga hakim mengisytiharkan keabsahan SJK dan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular itu adalah sah dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Supang Lian selepas menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu kewujudan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa di sekolah tersebut.

Dalam rayuan itu empat NGO selaku perayu menyatakan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Empat NGO itu ialah Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru).

Turut bersidang seorang lagi hakim Datuk M. Gunalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI