fbpx

Jelajah keindahan Taiwan secara solo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS berjaya meneroka keindahan bumi Taiwan secara solo.

Taiwan merupakan negara pertama saya bercuti secara solo.

Reputasi Taiwan sebagai negara selamat, bersih, pengangkutan awam yang kondusif serta kemesraan penduduknya merupakan faktor utama saya memilih untuk bercuti di negara itu.

Walaupun tidak fasih berbahasa Mandarin, namun ia bukan penghalang untuk saya pergi ke Taiwan.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Taipei Taoyuan, saya terus menaiki kereta api laju ke Taichung yang mengambil masa sekitar 45 minit.

Di sana, saya terus mencari hostel serta skuter sewa yang telah ditempah lebih awal.

Pengalaman pertama kali menunggang di luar negara membuatkan saya rasa keliru pada mulanya.

Namun, setelah beberapa jam, saya mula dapat mengikut rentak trafik di negara itu.

Saya mengambil lesen memandu antarabangsa yang boleh dipohon di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan bayaran RM150 untuk tempoh sah selama setahun.

Destinasi pertama saya adalah Qingjing Farm yang mengambil masa dua jam dari bandar Taichung.

Walaupun jalannya berbukit dan banyak selekoh, namun panoramanya sangat tenang serta memukau.

Pemandangan bukit-bukau dan padang hijau terbentang luas cukup mengujakan sambil menghirup udara nyaman dengan bertemankan biri-biri.

Di sini, pengunjung boleh membeli makanan rumput kering untuk diberi kepada biri-biri.

Walaupun sudah masuk musim luruh, tapi daun-daun kuning masih belum kelihatan.

Saya hanya singgah sebentar sahaja di Sun Moon Lake kerana cuaca tidak mengizinkan.

Setelah pulang ke Taichung dan bersiar-siar di bandar tersebut, saya terus menghantar skuter sewa sebelum bergegas ke Taipei dengan kereta api laju.

Tiba di ibu kota Taiwan, saya berjalan kaki sekitar 15 minit ke hostel.

Penulis bergambar di depan Jiufen Old Street, Taiwan.

Rezeki saya, kedai makanan halal terkenal hanya di sebelah hostel iaitu Chang Beef Halal Beef Noodles.

Jadi, tidak susah lagi untuk saya mencari makanan halal.

Rancangan untuk ke Shilin Night Market yang terkenal terpaksa dibatalkan kerana hujan.

Saya memilih untuk tinggal di hostel wanita sepanjang di Taichung dan Taipei.

Kelengkapan meletak barang disediakan dan setiap katil mempunyai langsir dan lampu untuk privasi.

Sebagai seorang Muslim, solat itu kewajipan.

Saya bersolat tanpa mengganggu orang lain yang turut menginap di bilik sama agar imej agama terjaga.

Hari ketiga, saya menyewa skuter dari Taipei untuk terus ke utara Taiwan.

Destinasi pertama pada hari tersebut adalah Shifen Old Street, di mana terdapat sebuah laluan kereta api klasik menghubungkan Taipei ke Shifen.

Para pengunjung boleh bergambar dan berjalan di atas landasan tersebut dan siren akan berbunyi sebagai isyarat bahawa kereta api menghampiri.

Perjalanan diteruskan ke Jiufen Old Street yang terkenal dengan rumah teh herba masyarakat Cina.

Lorong yang agak sesak dan bertangga itu menghidangkan pemandangan pesisir laut di utara Taiwan.

Dalam perjalanan ke Heping Island, saya berhenti sekejap di Zhengbin Port Color Houses iaitu rumah flat warna-warni di pelabuhan Keelung.

Di Heping Island, tiket masuk adalah RM24 yang menyajikan suasana pantai dan batu unik hasil hakisan angin laut.

Yehliu Geopark yang turut terletak di pantai utara pula mempunyai batu hasil hakisan angin laut seperti batu berbentuk cendawan, lilin, kepala naga, dan burung.

Tumpuan utama para pengunjung adalah Queen’s Head berupa kepala wanita bersanggul tinggi.

Pada hari terakhir di Taiwan, saya hanya menggunakan pengangkutan awam untuk ke mercu tanda negara itu iaitu Taipei 101 yang pernah menjadi pencakar langit tertinggi di dunia.

Saya mendaki Elephant Mountain selama 16 minit sebelum tiba di puncak dengan panorama seluruh bandar Taipei dan Taipei 101.

Sebelum ke lapangan terbang, saya sempat menjamah sekali lagi mi sup daging dan dumpling di sebelah hostel.

Walaupun bergerak secara solo, namun saya langsung tidak berasa sunyi seperti sangkaan orang.

Ini kerana, saya terlalu asyik mengagumi suasana dan budaya tempatan.

Perasaan gementar itu ada, namun saya berjaya mengatasinya kerana bercuti secara solo merupakan cabaran yang saya cipta untuk diri sendiri.

Sebagai seorang Muslim, sifat tawakal itu harus tinggi. Saya percaya, jika niat kita untuk mengembara dan melihat kebesaran bumi-Nya, kita pasti dipelihara.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI