fbpx

Korea Utara dakwa berjaya lancar satelit pengintip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roket yang membawa satelit Malligyong-1 dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di wilayah Phyongan Utara, malam semalam. - AFP

PYONGYANG – Korea Utara mengumumkan bahawa ia berjaya menghantar satelit pengintip tentera ke orbit selepas dua kali menemui kegagalan dalam misi serupa.

Agensi berita tempatan, KCNA melaporkan, sebuah roket yang membawa satelit dilancarkan malam semalam dari wilayah Phyongan Utara.

“Ia berjaya meletakkan satelit peninjau Malligyong-1 dengan tepat pada orbitnya,” kata laporan tersebut.

Imej disiarkan media pemerintah menunjukkan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un tersenyum dan melambai sambil dikelilingi oleh saintis dan jurutera yang bersorak selepas menyaksikan pelancaran tersebut.

Langkah Pyongyang itu bagaimanapun menerima kecaman hebat daripada seteru-seteru utamanya termasuk Amerika Syarikat yang menuduh tindakan tersebut sebagai melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain menggugat kestabilan serantau.

Sementara itu, negara jirannya, Korea Selatan bertindak balas dengan menggantung sebahagian perjanjian ketenteraan 2018 yang bertujuan mengurangkan ketegangan ketenteraan.

Seoul kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa ia akan menyambung semula operasi pengawasan di sepanjang sempadan Korea Utara.

Korea Utara pernah mencuba untuk menghantar satelit pengintip ke orbit pada Mei dan Ogos lalu, namun kedua-duanya gagal.

Seoul, Tokyo dan Washington telah berulang kali memberi amaran kepada Pyongyang supaya tidak meneruskan pelancaran lain kerana ia jelas melanggar resolusi PBB. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI