fbpx

Kongres PKR akan dihadiri pimpinan parti gabungan Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 dan 26 November ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merupakan kongres tahunan pertama akan dihadiri sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun PKR bersama-sama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

“Kongres akan dimeriahkan dengan kehadiran perwakilan seramai 2,374 orang dan pemerhati 1,500 orang dari Sabah hingga Perlis.

“Untuk makluman kongres akan turut dihadiri pimpinan utama dari parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan selain turut menerima kehadiran 50 kedutaan asing,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain Pakatan Harapan (PH), Kerajaan Perpaduan dianggotai Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Saifuddin Nasution berkata, tema Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 adalah “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani”.

Menurut beliau, isu kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan.

Tambah beliau, isu berhubung kos sara hidup, perpaduan; agama, raja dan kaum (3R), rasuah dan penyelewengan kuasa juga antara topik utama yang akan dipilih oleh para pembahas.

“Pembahas-pembahas diberi kebebasan berbahas, memberi nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan yang kemudiannya akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, kata beliau, melalui kongres itu, PKR akan sekali lagi menegaskan mesej dan pendirian terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak berlaku kemelut Palestin dan negara haram Israel.

Ujar beliau, PKR malah akan mengadakan slot khas untuk memperingati mangsa-mangsa kekejaman Israel di dalam kongres tersebut.

“Acara tahunan ini akan dimulakan dengan Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN dan Kongres Nasional Wanita KEADILAN pada sebelah pagi bermula pukul 8 pagi hingga 6:30
petang.

“Sebelah malam iaitu bermula pukul 9 malam acara Kongres Nasional KEADILAN peringkat pusat akan dibuka dengan ucapan dasar Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekaligus majlis perasmian kongres nasional,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI