fbpx

‘Kanak-kanak pekak boleh bercakap dengan kelip-kelip’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon cilik, Qisya melakonkan karakter seorang kanak-kanak yang mampu bercakap dengan kelip-kelip dalam filem magiK.

Kuala Lumpur – Filem magiK arahan pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka menampilkan bintang cilik berbakat besar, Qisya Hairulzain selaku watak utama sebagai kanak-kanak pekak.

Menurut Qisya yang juga anak pelakon Amanda Misbun ini, dia tertarik untuk melakonkan watak kanak-kanak pekak bernama Kit dalam filem itu sebaik sahaja membaca jalan ceritanya.

“Saya berasa kagum dengan jalan cerita filem ini yang memaparkan kisah kanak-kanak pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip.

“Pada mulanya, saya berasa gementar untuk melakonkan watak Kit itu. Namun, ia menjadi mudah apabila pengarah, menjadikan filem Disney kegemaran saya, Frozen sebagai contoh di mana Puteri Elsa dilahirkan dengan kuasa mencipta salji dan ais dan Kit pula mempunyai kuasa berkomunikasi dengan kelip-kelip.

ANTARA babak menarik dalam filem magiK yang akan ditayangkan tidak lama lagi di pawagam seluruh negara.

“Pengarah juga banyak membantu saya menjiwai babak dengan kelip-kelip ‘khayalan‘ yang turut menampilkan sentuhan imej janaan komputer (CGI),”katanya.

Sementara itu, Yasu selaku pengarah berkata, pemilihan Qisya untuk melakonkan watak Kit juga menerusi proses uji bakat dijalankan sebelum ini.

Katanya, dia menyukai Qisya kerana memiliki karakter sangat pendiam dan sama seperti watak Kit dalam filem magiK.

“Qisya juga sangat fokus dan memahami arahan sepanjang di lokasi penggambaran filem ini.

“Menurut ibunya pula, pada mulanya, Qisya sangat gementar dan hampir tidak mahu teruskan penggambaran ketika babak di atas bot pada waktu malam tetapi akhirnya dia mengatasi ketakutannya dan melakukan babak itu dengan yakin,” katanya.

Selain Qisya, filem magiK yang berkisar kepada kanak-kanak pekak berusia tujuh tahun, Kit di perkampungan yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip turut dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman dan Kamarul Eqifshah.

Filem magiK akan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 30 November ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI