fbpx

Lebih 1,000 orang hadir Himpunan Selamatkan Syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peserta ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ berkumpul di hadapan Istana Kehakiman hari ini bagi mempertahankan mahkamah syariah.

PUTRAJAYA – Lebih 1,000 orang membanjiri pekarangan Istana Kehakiman di sini bagi menyertai ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ yang dipercayai disertai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang.

Perhimpunan itu diadakan bagi mempertahankan mahkamah syariah susulan Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh hari ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Mereka yang hadir berkumpul seawal pukul 9 pagi tadi dan ada peserta datang dari jauh seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu ialah beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Hadir sama ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.

Difahamkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka turut menghadiri himpunan itu.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili ke­dua-dua pempetisyen bahawa 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan.

Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Ne­geri Kelantan tiada kuasa menggubal peruntukan undang-undang jenayah tersebut kerana ia bidang kuasa Parlimen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI